Monday 26 December 2011

Aku Malu!


Abu Mas'ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya sebahagian dari apa yang telah dikenal orang dari perkataan kenabian yang pertama ialah, 'Bila engkau tidak malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu'.".

Riwayat Bukhari
Hadith ke-20, Hadith Arbain - An-Nabawi




"Kalau kau tak malu, buatlah!" - orang Melayu

Rasanya selalu sangat kita dengar akan ungkapan ayat sebegini dalam kehidupan seharian kita. Jangankan kawan-kawan, rasanya ibu-ibu kita di rumah pun biasa menggunakan ayat-ayat sebegini.

Tapi sedarkah kita bahawa kata-kata yang kelihatan santai ini sebenarnya pernah diucapkan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

"Bila engkau tidak malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu." - sabda Rasulullah




Short yet meaningful!!

Begitulah indahnya kata-kata seorang yang bergelar nabi. Ayatnya ringkas, tetapi membawa maksud yang begitu mendalam bagi orang yang memikirkannya.

Walaubagaimanapun, jangan kita menyalahgunakan hadith ini pada situasi yang tidak sepatutnya.

Sebagai contoh, orang yang malu bertanya tentang agama atau ibadat dikategorikan dalam golongan jahil.

Jadi, malu macam mana yang Rasulullah maksudkan?


Sering kali kita berada dalam keadaan kita bersendirian dan mampu melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Sebagai contoh, kita terlihat akan iPhone 4S kawan kita di atas meja dan kita berada dalam situasi yang tiada orang di sekitar kita. Andai kita mengambilnya sekalipun, tiada siapa yang mengetahuinya. Tetapi kerana adanya sifat malu kepada Allah, maka kita pun tidak mengambilnya. V(^_^)V

Apa maksud kemaluan?

"Alat kelamin pada manusia" - Kamus Dewan

Inilah jawapan yang diberikan sekiranya kita bertanya kepada orang-orang Melayu secara umumnya. Sedangkan perkataan ini juga membawa maksud yang lebih luas, yang lebih selari dengan ajaran Islam.

"Berasa malu, sesuatu yang memalukan" - Kamus Dewan

Walaubagaimanapun, budaya barat kini hanya memandang perkataan tersebut pada maksud yang pertama sahaja. Itulah sebabnya budaya mereka membenarkan mereka untuk berpakaian bagaikan bertelanjang di khalayak ramai.


Just kidding!! 


Islam pula memandang kemaluan itu sebagai sesuatu yang lebih luas. Bukan sekadar pada kemaluan semata-mata, tetapi jauh lebih daripada apa yang disangka. Itulah yang dinamakan aurat, sesuatu yang perlu kita tutup sebaik mungkin dari terlihat insan yang tidak sepatutnya. Inilah yang dikatakan sebagai malu kepada sesama manusia.

Namun begitu, malu yang dimaksudkan dalam hadith di atas bukan sekadar mengatakan tentang aurat semata-mata, bahkan ianya menjurus kepada apa-apa sahaja perkara yang memalukan dan yang boleh menjatuhkan maruah apabila kita melakukannya. Sebagai contoh :

- mengucapkan kata-kata lucah atau mencarut
- pergaulan bebas
- membuka aib sendiri di laman-laman sosial
- etc........




Tetapi, boleh jadi sesuatu perkara yang kita rasa memalukan jika kita melakukannya, dirasakan biasa sahaja bagi orang lain. Semua itu terpulanglah pada kita sendiri untuk menilainya. Tepuk dada, tanyalah iman.

Semoga Allah membuka hati kita untuk menjadi insan yang lebih pemalu, malu kepada-Nya daripada melakukan dosa-dosa. Juga malu kepada sesama insan agar kita menjadi insan bermaruah di mata masyarakat insya-Allah... Aminnn...
Bookmark and Share

Sunday 18 December 2011

Marah Itu Mudah, Sabar Itu Indah

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "ليس الشديد
((بالصرعة، إنما الشديد الذى يملك نفسه عند الغضب" ((متفق عليه 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bukanlah orang yang keras (kuat) itu dengan banyaknya berkelahi, hanyasanya orang-orang yang keras (kuat) ialah orang yang dapat menguasai dirinya di waktu sedang marah-marah."
(Muttafaq 'alaih)

-Riyadhus Saliheen-
Hadith ke-21, Bab ke-3 ( Sabar )




Marah itu mudah, sabar itu indah.

Sebagaimana hadith di atas, Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan kepada kita betapa kuatnya seorang yang dapat menahan kemarahannya.

Dalam seharian hidup kita, pasti ada perkara yang berlaku yang mampu menggugat kesabaran kita.

Mungkin kerana kita diejek rakan kerana rupa paras kita, atau mungkin kerana barang kesayangan kita hilang entah ke mana.

Apa kata kita renung sejenak kisah di bawah ini yang dipetik dari sebuah buku tempatan.





* * * * *

Ketika itu Sultam Muhammad al-Fateh masih berada di luar kota Konstantinopel. Baginda menunggang seekor kuda putih sambil berteriak memberi semangat kepada tenteranya supaya terus menyerbu ke dalam kota Konstantinopel. Maharaja Konstantine dapat mengecam Sultan Muhammad al-Fateh lalu bercadang hendak membunuhnya.

"Wahai anak muda! Turun dari kuda itu, mari kita bertarung satu lawan satu!" teriak Maharaja Konstantine.

Sultan Muhammad al_fateh segera turun dari kuda yang ditunggangnya bagi menyahut cabaran itu.

"Siapa engkau wahai orang tua?" teriak Sultan Muhammad al-Fateh.

"Akulah Maharaja Konstantine. Lebih baik perintahkan tentera engkau supaya menyerah ataupun aku bunuh engkau!" teriak Maharaja Konstantine pula.

"Benarkah engkau ini Maharaja Konstantine? Di mana mahkota kebesaran yang engkau bangga-banggakan? Mengapa engkau memakai pakaian tentera?" tanya Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda hampir tidak mengenali Maharaja Konstantine.

"Hari ini aku bukan lagi seorang maharaja. Tetapi tentera biasa. Tindakan aku ini bagi menaikkan semangat tentera Rom. Mereka terus berperang sehingga mencapai kemenangan," jawab Maharaja Konstantine.

"Hari ini engkau mati sebagai tentera biasa bukan sebagai maharaja!" balas Sultan Muhammad al-Fateh.

Berlaku pertarungan antara mereka. Ternyata Maharaja Konstantine bukan lawan anak muda yang penuh bertenaga dan bersemangat waja itu. Sultan Muhammad al-Fateh yang mahir menggunakan pedang terus melakukan serangan sehingga menyebabkan Maharaja Konstantine tercungap-cungap kepenatan.

"Lebih baik engkau menyerah dan serahkan Konstantinopel kepada kami," kata Sultan Muhammad al-Fateh.

"Tidak!" teriak Maharaja Konstantine.

Baginda mengumpul segenap kekuatan lalu menyerang Sultan Muhammad al-Fateh dengan pedangnya. Tetapi serangan itu berjaya ditangkis oleh lawannya. Kemudian giliran Sultan Muhammad al-Fateh pula menyerang sehingga pedang di tangan Maharaja Konstantine terlucut dari tangannya. Pada ketika itu Sultan Muhammad al-Fateh mahu menamatkan riwayat hidup Maharaja Konstantine.

Maharaja Konstantine sedar baginda tidak dapat mengalahkan lawannya. Pedang di tangannya pula sudah terlucut dari pegangannya. Dan baginda tidak sempat menggunakan pedang kedua yang masih tersisip pada pinggangnya. Cuma ada satu sahaja senjata yang dia masih ada. Tiba-tiba Maharaja Konstantine meludah muka Sultan Muhammad al-Fateh. Dengan tiba-tiba Sultan Muhammad al-Fateh tidak jadi membunuh Maharaja Konstantine.

"Mengapa engkau tidak bunuh aku?" tanya Maharaja Konstantine.

"Tadi aku hendak membunuh engkau kerana Allah, tetapi selepas engkau meludah mukaku, aku menjadi marah. Aku tidak mahu membunuh engkau kerana marah," jawab Sultan Muhammad al-Fateh lalu berpaling hendak berlalu dari situ.

Sebaik sahaja Sultan Muhammad al-Fateh membelakanginya, Maharaja Konstantine menghunuskan pedang kedua yang tersisip pada pinggangnya. Baginda cuba menikam lawannya dari belakang. Panglima Amir Pasya yang berada di situ segera bertindak pantas. Dia mengayun pedangnya lalu berjaya memutuskan tangan kanan Maharaja Konstantine. Kemudian Sulaiman Oglo pula menyerang dan berjaya menjatuhkan Maharaja Konstantine. Topi besi yang dipakainya tertanggal. Panglima Amir Pasya dengan pantas memenggal leher Maharaja Konstantine.


Dipetik daripada : SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH PENAKLUK KONSTANTINOPEL
- Abdul Latip Talib -









* * * * *
Cool kan Sultan Muhammad al-Fateh?

Jadi memang betullah sabda Rasulullah bahawa orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan kemarahannya.

Orang yang dapat menahan kemarahannya tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Mereka ini semestinya dijanjikan oleh Allah akan ganjaran syurga di akhirat kelak. Insya-Allah.

Semoga marah yang mudah hadir dalam diri kita ini membuat kita selalu bersabar dan memberikan sebenarnya satu jalan yang mudah untuk ke syurga, iaitu hanya dengan menahan kemarahan. (^_^)


Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.


( Iaitu ) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.

'Imran : 133-134
Bookmark and Share

Wednesday 7 December 2011

Ahmad Wafi Husaini

Assalamualaikum teman-temanku,
Ingin aku khabarkan padamu,
Betapa gembira rasa hatiku,
Bila terdengar khabaran itu...

Anak itu Ahmad Wafi Hussaini,
Itulah nama yang telah diberi,
Moga hadirmu membawa erti,
Ayah dan ibu terubat hati...

10 Muharram itulah tarikhnya,
Hari As-syura hari bermakna,
Moga kau menjadi insan bertaqwa,
Dalam menegakkan ajaran agama...

Wahai sahabatku Dalila dan Azri,
Buat kalian suami dan isteri,
Ucapan tahniah ikhlas kuberi,
Moga hari-hari kalian tambah berseri...

2011 menjadi saksi,
Lahirnya dua insan yang suci,
Keluarga Olomouc lama ternanti,
Akan hadirnya anak-anak kecil ini...




Nukilan : Fantasia[071211]
Bookmark and Share

Sunday 20 November 2011

Permulaan Kedua

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Setelah 2 bulan lebih blog ni lesu tanpa post-post baru, akhirnya Allah berikan juga kekuatan dan idea untuk menulis semula. Walaupun mungkin outputnya tak seberapa, yang penting IKHLAS dalam MENYAMPAIKAN. Barulah tercapai objektif mengejar cita-cita menjadi seorang daie insya-Allah.

Kenapa lepas 2 bulan baru post balik? Ada alasan tak untuk lepaskan diri daripada tanggungjawab yang Allah berikan?

Sibuk?

Takde masa?

Adapt new life?

Sem baru mula?

Ahhh!!! Semua tu alasan semata-mata kenapa lama tak update blog. Pengakuan jujur, yang sebenarnya........ MALAS!!

Malas!! Sebab malaslah blog ni terbengkalai tak bernyawa. Tapi apapun, yang penting sekarang blog ni dah mula beroperasi. Alhamdulillah...





Biarkanlah mereka ( di dunia ini ) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan kosong mereka (daripada bertaubat dan insaf ), kelak mereka akan mengetahui ( akibat perbuatannya ).

Al-Hijr : 3


Allah awal-awal lagi dah berfirman kepada kita yang kita akhirnya akan menyesal bila kita lama sangat tenggelam dalam nikmat dunia.

Bersyukurlah kepada Allah kerana kita cepat tersedar dari angan-angan ini. Walau lambat pun tak mengapa kerana kita tetap Allah sedarkan, sedangkan ramai yang lain Allah biarkan mereka terus hanyut dengan keindahan dunia.





Sesuai dengan 'kelahiran' semula setelah sekian lama menyepi diri, kita anggaplah ini sebagai sebuah permulaan. Tetapi bukan permulaan yang baru, ianya PERMULAAN KEDUA!!

Biarlah semalam kita tenggelam dan hanyut,
Bangunlah!! Sedarlah!!
Hari ini moga kita terjaga dari lena,
Bersyukurlah pada-NYA!!
Kerana esok adalah hadiah  untuk kita berubah...



Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok ( akhirat ), dan bertqawalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

Al-Hasyr : 18


Ayuh kita berubah, daripada menjadi diri kita yang semalam kepada diri yang lebih baik pada hari esok agar kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang berjaya pada HARI ESOK iaitu AKHIRAT kelak, insya-Allah...


Bookmark and Share

Thursday 17 November 2011

Hadis Ghulam

Dari Shuhaib r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dahulu ada seorang raja dari golongan umat yang sebelum engkau semua, ia mempunyai seorang ahli sihir.

Setelah penyihir itu tua, ia berkata kepada raja : "Sesungguhnya saya ini telah tua, maka itu kirimkanlah padaku seorang anak yang akan saya beri pelajaran ilmu sihir." Kemudian raja itu mengirimkan padanya seorang anak untuk diajarinya.





Anak ini di tengah perjalanannya, apabila seseorang rahib (pendeta Nasrani) berjalan di situ, diapun duduklah padanya dan mendengarkan ucapan-ucapannya. Apabila dia telah datang di tempat penyihir, diapun melalui tempat rahib tadi dan terus duduk di situ untuk mendengarkan ajaran-ajaran Tuhan yang disampaikan olehnya. Selanjutnya apabila datang di tempat penyihir, diapun dipukul olehnya kerana kelambatan datangnya. 

Hal yang sedemikian itu diadukan oleh anak itu kepada rahib, lalu rahib berkata : "Jikalau engkau takut pada penyihir itu, katakanlah bahawa engkau ditahan oleh keluargamu dan jikalau engkau takut pada keluargamu, maka katakanlah bahawa engkau ditahan oleh penyihir."





Pada suatu ketika di waktu dia dalam keadaan yang sedemikian itu, lalu tibalah dia di suatu tempat dan di situ ada seekor binatang yang besar dan menghalang-halangi orang banyak untuk berlalu di jalanan itu.

Anak itu lalu berkata : "Pada hari ini saya akan mengetahui, apakah penyihir itu yang lebih baik ataukah pendeta itu yang lebih baik?"

Diapun lalu mengambil seketul batu kemudian berkata : "Ya Allah, apabila perkara pendeta itu lebih
dicintai di sisi-Mu daripada perkara penyihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang-orang banyak dapat berlalu." Selanjutnya binatang itu dilemparnya dengan batu tadi, kemudian dibunuhnya dan orang-orang pun berlalulah.





Ia lalu mendatangi rahib dan memberitahukan hal tersebut. Rahib itupun berkata : "Hai anakku, engkau sekarang adalah lebih mulia daripadaku sendiri. Keadaanmu sudah sampai di suatu tingkat yang saya sendiri dapat memakluminya. Sesungguhnya engkau akan terkena cobaan, maka jikalau engkau terkena cobaan itu, janganlah menunjuk kepadaku."

Anak itu lalu dapat menyembuhkan orang buta dan berpenyakit lepra serta dapat mengubati orang banyak dari segala macam penyakit.

Hal itu didengar oleh sahabat karib raja yang telah menjadi buta. Dia datang pada anak itu dengan membawa beberapa hadiah yang banyak jumlahnya, kemudian berkata : "Apa saja yang ada di sisimu ini adalah menjadi milikmu, apabila engkau dapat menyembuhkan aku."





Anak itu berkata : "Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan sesiapapun, hanyasanya Allah Ta'ala yang dapat menyembuhkannya. Maka jikalau Tuan suka beriman kepada Allah Ta'ala, saya akan berdoa kepada Allah, semoga Dia suka menyembuhkan Tuan."

Kawan raja itu lalu beriman kepada Allah Ta'ala, kemudian Allah menyembuhkannya. Dia lalu mendatangi raja terus duduk di dekatnya sebagaimana duduknya yang sudah-sudah. Raja kemudian bertanya : "Siapakah yang mengembalikan penglihatanmu itu?" Maksudnya : Siapakah yang menyembuhkan butamu itu?

Kawannya itu menjawab : "Tuhanku."

Raja bertanya : "Adakah engkau mempunyai Tuhan lain lagi selain dari diriku?"

Dia menjawab : "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah."





Kawannya itu lalu ditindak oleh raja tadi dan terus-menerus diberikan seksaan padanya, sehingga kawannya itu menunjuk kepada anak yang menyebabkan kesembuhannya. Anak itupun didatangkan.

Raja berkata padanya : "Hai anakku, kiranya sihirmu sudah sampai ke tingkat dapat menyembuhkan orang buta dan yang berpenyakit lepra dan engkau dapat melakukan ini dan dapat pula melakukan itu."

Anak itu berkata : "Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan seseorangpun, hanyasanya Allah Ta'ala jualah yang menyembuhkannya."

Anak itupun ditindaknya, dan terus-menerus diberikan seksaan padanya, sehingga ia menunjuk kepada pendeta.

Pendeta pun didatangkan, kemudian kepadanya dikatakan : "Kembalilah dari agamamu!" Maksudnya supaya meninggalkan agama Nasrani dan beralih menyembah raja dan patung-patung. Pendeta itu enggan mengikuti perintahnya. Raja meminta supaya diberi gergaji, kemudian diletakkanlah gergaji itu di tengah kepalanya. Kepala itu dibelahnya sehingga jatuhlah kedua belahan kepala tersebut.





Selanjutnya didatangkan pula kawan seduduk raja dahulu itu, lalu kepadanya dikatakan : "Kembalilah dari agamamu itu!" Iapun enggan menuruti perintahnya. Kemudian diletakkan pulalah gergaji itu di tengah kepalanya lalu dibelahnya, sehingga jatuhlah kedua belahannya itu.

Seterusnya didatangkan pulalah anak itu. Kepadanya dikatakan : "Kembalilah dari agamamu." Diapun menolak ajakannya.

Kemudian anak itu diberikan kepada sekeIompok sahabatnya lalu berkata : "Pergilah membawa anak ini ke gunung ini atau itu, naiklah dengannya ke gunung itu. Jikalau engkau semua telah sampai di puncaknya, maka apabila anak ini kembali dari agamanya, bolehlah engkau lepaskan, tetapi jika tidak, maka lemparkanlah dia dari atas gunung itu."





Sahabat-sahabatnya itu pergi membawanya, kemudian menaiki gunung, lalu anak itu berkata : "Ya Allah, lepaskanlah hamba dari orang-orang ini dengan kehendak-Mu." Kemudian gunung itu pun bergerak keras dan orang-orang itu jatuhlah semuanya.

Anak itu lalu berjalan menuju ke tempat raja. Raja berkata : "Apa yang dilakukan oleh kawan-kawanmu?" Dia menjawab : "Allah Ta'ala telah melepaskan aku dari tindakan mereka."

Anak tersebut terus diberikan kepada sekelompok sahabat-sahabatnya yang lain lagi dan berkata : "Pergilah dengan membawa anak ini dalam sebuah tongkang dan berlayarlah sampai di tengah lautan. Jikalau dia kembali dari agamanya, maka lepaskanlah dia, tetapi jika tidak, maka lemparkanlah ke lautan itu."

Orang-orang bersama-sama pergi membawanya, lalu anak itu berkata: "Ya Allah, lepaskanlah hamba dari orang-orang ini dengan kehendakMu." Tiba-tiba tongkang itu terbalik, maka tenggelamlah semuanya.





Anak itu sekali lagi berjalan ke tempat raja. Rajapun berkatalah : "Apakah yang dikerjakan oleh kawan-kawanmu?" Dia menjawab : "Allah Ta'ala telah melepaskan aku dari tindakan mereka."

Selanjutnya dia berkata pula pada raja : "Tuan tidak dapat membunuh saya, sehingga Tuan suka melakukan apa yang kuperintahkan." Raja bertanya : "Apakah itu?"

Dia menjawab : "Tuan kumpulkan semua orang di lapangan menjadi satu dan Tuan salibkan saya di batang pohon, kemudian ambillah sebatang anak panah dari tempat panahku ini, lalu letakkanlah anak panah itu pada busurnya, lalu ucapkanlah : "Dengan nama Allah, Tuhan anak ini," terus lemparkanlah anak panah itu. Sesungguhnya apabila Tuan mengerjakan semua itu, tentu Tuan dapat membunuhku."

Raja mengumpulkan semua orang di suatu padang luas. Anak itu disalibkan pada sebatang pohon, kemudian mengambil sebuah anak panah dari tempat panahnya, lalu meletakkan anak panah di busur, terus mengucapkan : "Dengan nama Allah, Tuhan anak ini."





Anak panah dilemparkan dan jatuhlah anak panah itu pada pelipis anak tersebut. Anak itu meletakkan tangannya di pelipisnya, kemudian meninggal dunia.

Orang-orang yang berkumpul itu sama berkata : "Kita semua beriman kepada Tuhannya anak ini."

Raja didatangi dan kepadanya dikatakan : "Adakah Tuan mengetahui apa yang selama ini Tuan takutkan? Benar-benar, demi Allah, apa yang Tuan takutkan itu telah tiba, iaitu tentang keimanan seluruh rakyatnya. Orang-orang semuanya telah beriman."

Raja memerintahkan supaya orang-orang itu digiring di celah-celah bumi, yang bertebing dua kanan-kiri, iaitu di pintu lorong jalan. Celah-celah itu dibelahkan dan dinyalakan api di situ.

Dia berkata : "Barangsiapa yang tidak kembali dari agamanya, maka lemparkanlah ke dalam celah-celah itu," atau dikatakan : "Supaya melemparkan dirinya sendiri ke dalamnya."





Orang banyak melakukan yang sedemikian itu, sebab tidak ingin kembali menjadi kafir dan musyrik lagi, sehingga ada seorang wanita yang datang dengan membawa bayinya. Wanita ini agaknya ketakutan hendak menceburkan diri ke dalamnya. Bayinya itu lalu berkata : "Hai ibunda, bersabarlah, kerana sesungguhnya ibu adalah menetapi atas kebenaran."

(Riwayat Muslim)

-Riyadhus Saliheen-
Hadith ke-6, Bab ke-3 ( Sabar )


******

  • Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Saiyyidina Umar, telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan pada bawah telinganya yang masih luka.
  • Rujukan : Surah al-Buruj : 4-8
Bookmark and Share

Friday 9 September 2011

Assalamualaikum Isteriku

PERMATA UNTUK ISTERI - KOPRATASA

p/s : Teristimewa buat zaujahku. Semoga seminggu ini menjadi permulaan yang baik buat perkahwinan kita insyaAllah..
Bookmark and Share

Friday 5 August 2011

Madrasah as-Syaitan

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; "Apabila menjelmanya Ramadhan, nescaya dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."
( HR al-Bukhari dan Muslim )





Alhamdulillah, Ramadhan menjengah lagi dan Allah masih memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini.

Hadith yang saya sertakan ini merupakan antara hadith yang begitu popular dalam kalangan kita sejak daripada kecil lagi.

Bahkan hadith ini juga membuatkan kita berasa sangat terpelihara daripada godaan syaitan dalam kita menempuh bulan Ramadhan yang juga sering digelarkan sebagai "Madrasah Ramadhan".

Maklumlah apabila musuh kita yang paling nyata sudah tiada, maka tiadalah pengganggu dalam ibadah kita sepanjang Ramadhan ini.




MADRASAH RAMADHAN


Saban tahun menjelang Ramadhan, sering kita dengar ungkapan "Mentarbiyyahkan diri dalam madrasah Ramadhan", tidak kiralah di TV, radio mahupun Facebook dan Twitter.


Kata orang, bulan Ramadhan ini merupakan peluang terbaik untuk kita berubah dalam menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.


Mana tidaknya, Nabi Muhammad sendiri telah bersabda bahawa syaitan yang merupakan makhluk yang tugasnya untuk menyesatkan anak cucu Adam telah pun dirantai sebaik menjelmanya bulan Ramadhan.


Tambahan pula, Ramadhan ini juga disertakan dengan satu kelebihan yang tiada di bulan-bulan lain iaitu malam al-Qadr ataupun Lailatul Qadr.


Sebagaimana firman Allah s.w.t. :






Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

al-Qadr : 1-5

Selain itu, solat terawikh juga hanya terdapat pada bulan Ramadhan. Maka kelihatanlah pada setiap malam surau-surau dan masjid-masjid yang kebiasaannya lengang menjadi penuh pada waktu Isyak kerana kehadiran umat Islam yang ingin mendirikan solat sunat yang ada pada bulan ini sahaja.

Persoalannya, mampukah madrasah ini mentarbiyyahkan diri kita untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya?

Adakah diri kita mampu menjejakkan kaki ke masjid-masjid sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bangun sebelum masuknya Subuh sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bersedekah dan beramal jariah sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Jika anda mampu, TAHNIAH!!! Andalah 'graduan' madrasah Ramadhan!!!




MADRASAH AS-SYAITAN

Sekarang kita berbicara pula tentang madrasah yang kedua yang merupakan tajuk kepada 'post' ini.

Sebelum kita memasuki bulan Ramadhan, kita telah berada di madrasah ini selama 11 bulan. Sedarkah kita?

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, mampukah kita mentarbiyyahkan diri kita sehabis mungkin dalam bulan Ramadhan agar kita bersedia menghadapi bulan-bulan selain Ramadhan yang penuh dengan godaan syaitan.

Namun, lain pula bagi 'pensyarah' yang bernama SYAITAN.

Mereka bukan sahaja mendidik anak didiknya, malah juga menggilap nafsu yang ada pada anak didik mereka agar nafsu inilah yang bakal meneruskan tarbiyyah anak didik madrasah as-Syaitan sepanjang ketiadaan pensyarah mereka ini.





Lihatlah betapa berjaya madrasah ini sehingga mampu melahirkan begitu ramai graduan yang berkualiti.

Bukan itu sahaja, mereka juga diajar cara-cara untuk menjadi seorang 'pensyarah' sebaik ketiadaan pensyarah mereka ini agar bertambah ramai penuntut di madrasah ini dalam usaha menggagalkan usaha murni segelintir penuntut madrasah Ramadhan.

Dalam kesibukan umat Islam mecari keredhaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, di sinilah dapat kita lihat kelibat-kelibat mereka yang bergelar 'graduan' madrasah as-Syaitan.

Mereka ini tidak berpuasa di saat orang lain berpuasa.

Mereka ini tidak mendirikan solat di saat orang lain melipatgandakan solat wajib dan sunat.

Mereka ini sibuk memboroskan wang di bazar Ramadhan di saat orang lain memperbanyak sedekah.

Mereka ini sibuk menonton televisyen di saat orang lain berpusu-pusu menghadiri majlis ilmu.

Mereka ini masih mendedahkan aurat di saat orang lain menjaga maruah dan harga diri.

Bukan ini sahaja, malah banyak lagi yang ada pada mereka ini hasil didikan syaitan ke atas musuh manusia selepas syaitan iaitu NAFSU!

Pilihan ada di tangan kita. Lapangkan dada, panjatkan doa dan beristikharahlah dalam membuat keputusan sama ada memilih madrasah Ramadhan ataupun madrasah as-Syaitan.





Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi insan yang bergelar graduan madrasah Ramadhan. Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita tidak termasuk golongan yang berjaya dididik oleh musuh kita yang paling nyata iaitu syaitan. aminnnn....

## Syaitan diikat semasa bulan Ramadhan, jadi hantu raya wujud atau tidak? V(^_^)V
Bookmark and Share

Monday 1 August 2011

Aku Maafkan Kau...

Al-Ahnaf bin Qais, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia. Beliau digelar Abu Bahr dan berasal dari Bani Tamim. Dia dipanggil "al-Ahnaf" kerana kecacatan di kakinya.

Budi pekertinya refleksi akhlak Nabi s.a.w. Betapa harumnya nama al-Ahnaf sehingga diumpamakan, "lebih lemah-lembut berbanding al-Ahnaf" ( ahlam min al-Ahnaf ).

Pernah diriwayatkan suatu hari ada seorang lelaki mengutuk dan mengeji al-Ahnaf.

Apa tindak balasnya?

Al-Ahnaf pergi dari situ dan tidak membalas kejian dan makian lelaki tersebut. Kejian dan makian tersebut tidak diendahkan, seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Langkahnya diteruskan walaupun lelaki yang mengejinya tadi tetap mengikut langkah kakinya dan terus mengutuknya. Lagak al-Ahnaf masih seperti tadi, tenang dan tidak menghiraukannya.

Sebaik sahaja menghampiri kawasan kediamannya, al-Ahnaf berhenti. Langkahnya kaku. Dipandang lelaki yang mengejinya tadi lantas berkata : "Jika masih ada apa-apa yang engkau ingin katakan, maka luahkan segala-galanya sebelum penghuni kejiranan ini mendengar kata-katamu dan mula menyakitimu."




Dalam kisah yang lain pula, seorang lelaki mengutuknya dan mengejinya. Al-Ahnaf sekadar diam tidak berkata apa-apa walau sepatah.

Lelaki tersebut tidak berputus asa, tetap meneruskan misinya mengutuk dan menghina al-Ahnaf sehinggalah tiba waktu makan tengah hari.

Al-Ahnaf berkata kepadanya : "Ini dia makanan tengah hari kami. Jom makan bersama kami."

Ajakan al-Ahnaf itu sungguh-sungguh, ikhlas dari hatinya. Bukan ajak-ajak ayam atau ajakan sinis. Lelaki yang menghinanya itu malu. Usahanya ibarat mencurah air ke daun keladi, sia-sia dan tidak bermanfaat.




Demikianlah akhlak al-Ahnaf yang lemah-lembut, pemaaf, tidak berdendam dan tidak baran, malah berhikmah dalam menghadapi sebarang situasi.


-Solusi 29-


Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith dari Anas al-Juba'i bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyeru pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk sampai disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu." ( HR Ahmad dengan sanad hasan )



Bookmark and Share

Saturday 9 July 2011

Aku Ibarat Kunang-Kunang

Aku ibarat kunang-kunang. Dalam gelap aku terbang, dalam gelap aku hilang. Beginilah kehidupanku sehari-harian sejak aku ditakdirkan-NYA untuk wujud di muka bumi ini. Di saat sang suria melabuhkan tirainya, meninggalkan alam gelita hanya disuluhi redup samar sang rembulan, tika dan saat inilah, aku seekor kunang-kunang kecil akan keluar meraja di langit malam yang luas terbentang. Dari hulu sampailah ke hilir akan ku redahi. Sekejap-sekejap aku terbang tinggi, sekejap-sekejap aku terbang rendah hinggakan hampir mencecah tanah yang daripadanyalah Allah menjadikan manusia, hamba yang diutuskan-NYA untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan dunia ini.

Namun sayang, dengan tubuhku yang kecil sebegini, ditambah dengan hayatku yang tidaklah selama nabi Allah Nuh yang menjangkau 1000 tahun, mustahil bagi aku untuk menyampaikan dakwah bagi menyeru manusia kembali mencari Yang Maha Esa. Sering kali aku terfikir dan terbayang-bayang akan cerita-cerita yang sering ibuku wadahkan kepadaku sewaktu aku kecil dahulu.






Kata ibuku, dunia datuk dan nenek moyangku dahulu jauh sekali berbeza dengan dunia yang aku tatap pada malam hari ketika aku terbang merentasi gelap malam. Dahulunya, tempat tinggalku ini tidaklah seperti apa yang ada sekarang. Tiada bongkah-bongkah batu yang tingginya sehingga mencakar langit biru, tiada kepul-kepul asap yang mengaburi putihnya awan. Dahulunya, keturunanku hidup dalam keadaan yang sungguh aman di sini, di samping hidup dalam komuniti yang besar kerana masih banyak pohon-pohon hijau yang menjadi tempat mereka berteduh. Manusia pada masa itu pula amatlah prihatin dalam menghargai alam ciptaan Ilahi yang tersergam indah hinggakan mampu membuai mata bagi insan yang meneliti akan keindahan ciptaan-NYA. Subhanallah........

Walaupun begitu, bukanlah ini yang membuatkan aku hairan apabila memikirkannya. Kerana aku tahu bahawa pada masa itu, kemajuan masih lagi belum wujud, manusia pula masih belum merentas memasuki alaf yang baru. Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang mengubah hidup manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang melunturkan akhlak dan pekerti manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang membuatkan goyahnya iman seseorang yang bergelar muslim?






Dalam dunia ku hari ini, aku tidak hairan apabila melihat suasana malam yang tiada bezanya dengan siang hari walaupun embun sudah mula menampakkan diri di hujung-hujung daun yang menghijau dan fajar pula mula menyinsing mengintai langit. Sedarlah wahai manusia, walaupun aku hanya seekor kunang-kunang kecil, namun aku meyedari akan hakikat ciptaan Ilahi bahawa “SUBUH ITU ADALAH PERMULAAN HARI KITA, BUKANNYA MENJADI PENUTUP HARI KITA”.....

Kadang-kala, aku hampir berasa malas melakukan rutin hidupku untuk terbang merentasi gelap malam apabila aku melihat dunia hari ini. Namun aku akur bahawa aku hanya akan mengundang dosa andai aku meninggalkan tugasku yang semestinya melawan Sunnatullah yang ditetapkan Rabbul Izzati. Niatku bukanlah untuk megeji tindak-tanduk manusia. Siapalah aku kepada mereka. Di mata mereka, aku hanya seekor kunang-kunang kecil, barangkali mereka tidak merasa sama sekali akan kewujudanku. Kata-kataku mustahil untuk didengari mereka. Aku terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasad mereka. Mustahil aku ini yang diutuskan untuk membetulkan silap mereka. Tetapi mengapa aku yang kecil inilah yang sedar akan kesilapan mereka? Tetapi mengapa aku yang kecil ini yang terasa sangat akan kealpaan mereka? Kenapa bukan mereka sendiri yang terdetik di hati mereka untuk menginsafi diri?

Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Untuk memakmurkan dunia ini kerana mereka sahajalah makhluk yang Allah kurniakan akal? Khalifah apakah manusia ini sedangkan mereka inilah yang terhuyung-hayang kemabukan di tepi-tepi jalanan. Untuk apa dikurniakan akal kalau masih juga meneguk minuman-minuman syaitan yang jelas sekali diharamkan Allah dalam Al-Quran? Atas alasan apa mereka meneguk arak yang jelas nyata akan menghilangkan kewarasan dan pertimbangan mereka? Sekadar untuk menghilangkan tekanan hidup? Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini dikurniakan akal oleh Allah, akan aku cuba sehabis daya untuk menghargai akal yang Allah kurniakan kepadaku, bukan dirosakkan dengan begitu sahaja.






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Bukankah mereka semua sama juga seperti makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain, diciptakan untuk menjadi hamba Allah? Tetapi kenapa lebih ramai yang menghambakan diri kepada nafsu? Kenapa bukan Allah yang menjadi tempat untuk mereka mengadu? Begitu ramai yang aku lihat menghambakan diri kepada nafsu dunia sehinggakan ada yang sanggup meletakkan maruah dan harga diri mereka lebih rendah daripada tumit kaki mereka sendiri. Kenapa ada wanita yang sanggup menyerahkan diri mereka secara relanya kepada lelaki-lelaki yang ghairah untuk melempiaskan nafsu berahi mereka. Wahai wanita, bukankah harga dirimu itulah yang menjadi mahar paling bernilai kepada suamimu? Kenapa ada pula lelaki yang masih dahagakan layanan pelacur-pelacur murahan di jalanan, sedangkan isteri yang halal untuk mereka perlakukan dibiarkan sahaja menanti di rumah tanpa mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai suami. Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini sudah mampu memikirkan tentang hak yang halal dan haram, kenapa bukan kau wahai manusia yang dikurniakan akal memikirkan semua ini?






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidak dapat aku bayangkan apa yang akan keturunan anak cucu aku nanti tatap jika anak muda yang ada pada hari ini tiada satu pun yang imannya seteguh Saidina Ali, tiada satu pun yang beraninya seperti Salehuddin Al-Ayubi. Ya Allah Ya Tuhanku,  kenapa anak muda yang ada pada hari ini tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai? Kenapa anak muda yang ada hari ini jalannya berpimpinan tangan melebihi mereka yang sudah berkahwin? Halalkah perbuatan mereka ini? Aku hanyalah si kunang-kunang kecil terbang di waktu malam. Namun kenapa masih aku kelihatan anak-anak muda ini pada waktu-waktu sebegini? Di manakah tanggungjawab ibubapa mereka sehingga membiarkan anak-anak muda ini berpeleseran di kala bulan terang mengambang? Bukan ini sahaja yang aku tatap dari hari ke hari, tetapi aku sendiri malu untuk menceritakan. Astaghfirullahala’zim..






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidakkah mereka tahu yang mereka ini Allah indahkan dengan diri yang sempurna? Kenapa tidak mereka hargai keindahan ini dengan menutup aurat-aurat mereka? Bukankah ada eloknya keindahan yang Allah kurniakan dipelihara dan dikongsi bersama mereka yang halal bagi diri mereka sahaja? Adakah mereka ini haiwan seperti aku si kunang-kunang kecil yang Allah tidak gariskan tentang soal aurat? Aku tidak faham kenapa mereka bagaikan ingin bertelanjang di khalayak ramai sedangkan mereka mampu membeli pakaian yang mahal. Tidak malukah mereka? Mengapa ada umat Muhammad yang indah cantik wajahnya ditutup dengan tudung, tetapi dibiarkan sahaja tangan dan kaki tidak bekain? Apakah Islam hanya satu fesyen? Tidak malukah mereka?





Ya Allah, indahnya suasana malam yang Kau ciptakan. Bulan tergantung menampakkan kekuasaan-Mu, dihiasi kerlipan bintang-bintang di langit. Namun kenapa kau wahai manusia mencacatkan malam-malam aku? Kenapa indahnya malam kau corakkan sebegini rupa sehingga cacat cela jadinya? Tidakkah kau sedar wahai manusia bahawa kau dijadikan untuk memakmurkan dunia? Kenapa bukan malam-malammu kau hiasi dengan qiyam untuk bertahajud kepada Allah? Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah kerana menjadikan aku seekor kunang-kunang, yang tidak alpa akan hakikat penciptaanku hanya untuk beribadat kepada-Mu. Jika inilah yang terjadi kepada mereka yang Kau kurniakan akal, aku sangat bersyukur kerana kau menjadikan aku si kunang-kunang kecil tanpa akal untuk berfikir.

Wahai serikandi Islam, bangunlah kau dari lenamu. Wahai panglima Islam, sedarlah kau dari anganmu. Aku hanya seekor kunang-kunang kecil yang setiap masa berzikir memuji Al-Khaliq. Telah aku titipkan kepadamu wahai manusia agar kau berubah kelak. Walaubagaimana sekalipun aku merintih, belum bermakna dapat kau dengari isi hatiku wahai manusia sekalian. Namun aku tetap cuba menegur silapmu wahai manusia kerana aku tahu bahawa selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran dengan hati. Walaupun aku tahu aku si kunang-kunang kecil tidak terdaya untuk mengubah salah silapmu, namun aku tetap mencuba kerana aku tidak mahu kealpaanku ini membuat aku dipersalahkan pada hari pembalasan kelak.......




Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” mereka menjawab, “agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa.”

Al-A’raf : 164


Nukilan : Fantasia[120609]


Karya yang sekian lama tersimpan, dan boleh dikatakan antara yang terawal ditulis sejak jejak kaki dekat bumi Czech Republik.. Moga bermanfaat insya-Allah...
Bookmark and Share