Monday 26 December 2011

Aku Malu!


Abu Mas'ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya sebahagian dari apa yang telah dikenal orang dari perkataan kenabian yang pertama ialah, 'Bila engkau tidak malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu'.".

Riwayat Bukhari
Hadith ke-20, Hadith Arbain - An-Nabawi




"Kalau kau tak malu, buatlah!" - orang Melayu

Rasanya selalu sangat kita dengar akan ungkapan ayat sebegini dalam kehidupan seharian kita. Jangankan kawan-kawan, rasanya ibu-ibu kita di rumah pun biasa menggunakan ayat-ayat sebegini.

Tapi sedarkah kita bahawa kata-kata yang kelihatan santai ini sebenarnya pernah diucapkan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

"Bila engkau tidak malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu." - sabda Rasulullah




Short yet meaningful!!

Begitulah indahnya kata-kata seorang yang bergelar nabi. Ayatnya ringkas, tetapi membawa maksud yang begitu mendalam bagi orang yang memikirkannya.

Walaubagaimanapun, jangan kita menyalahgunakan hadith ini pada situasi yang tidak sepatutnya.

Sebagai contoh, orang yang malu bertanya tentang agama atau ibadat dikategorikan dalam golongan jahil.

Jadi, malu macam mana yang Rasulullah maksudkan?


Sering kali kita berada dalam keadaan kita bersendirian dan mampu melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Sebagai contoh, kita terlihat akan iPhone 4S kawan kita di atas meja dan kita berada dalam situasi yang tiada orang di sekitar kita. Andai kita mengambilnya sekalipun, tiada siapa yang mengetahuinya. Tetapi kerana adanya sifat malu kepada Allah, maka kita pun tidak mengambilnya. V(^_^)V

Apa maksud kemaluan?

"Alat kelamin pada manusia" - Kamus Dewan

Inilah jawapan yang diberikan sekiranya kita bertanya kepada orang-orang Melayu secara umumnya. Sedangkan perkataan ini juga membawa maksud yang lebih luas, yang lebih selari dengan ajaran Islam.

"Berasa malu, sesuatu yang memalukan" - Kamus Dewan

Walaubagaimanapun, budaya barat kini hanya memandang perkataan tersebut pada maksud yang pertama sahaja. Itulah sebabnya budaya mereka membenarkan mereka untuk berpakaian bagaikan bertelanjang di khalayak ramai.


Just kidding!! 


Islam pula memandang kemaluan itu sebagai sesuatu yang lebih luas. Bukan sekadar pada kemaluan semata-mata, tetapi jauh lebih daripada apa yang disangka. Itulah yang dinamakan aurat, sesuatu yang perlu kita tutup sebaik mungkin dari terlihat insan yang tidak sepatutnya. Inilah yang dikatakan sebagai malu kepada sesama manusia.

Namun begitu, malu yang dimaksudkan dalam hadith di atas bukan sekadar mengatakan tentang aurat semata-mata, bahkan ianya menjurus kepada apa-apa sahaja perkara yang memalukan dan yang boleh menjatuhkan maruah apabila kita melakukannya. Sebagai contoh :

- mengucapkan kata-kata lucah atau mencarut
- pergaulan bebas
- membuka aib sendiri di laman-laman sosial
- etc........




Tetapi, boleh jadi sesuatu perkara yang kita rasa memalukan jika kita melakukannya, dirasakan biasa sahaja bagi orang lain. Semua itu terpulanglah pada kita sendiri untuk menilainya. Tepuk dada, tanyalah iman.

Semoga Allah membuka hati kita untuk menjadi insan yang lebih pemalu, malu kepada-Nya daripada melakukan dosa-dosa. Juga malu kepada sesama insan agar kita menjadi insan bermaruah di mata masyarakat insya-Allah... Aminnn...
Bookmark and Share

Sunday 18 December 2011

Marah Itu Mudah, Sabar Itu Indah

وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "ليس الشديد
((بالصرعة، إنما الشديد الذى يملك نفسه عند الغضب" ((متفق عليه 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bukanlah orang yang keras (kuat) itu dengan banyaknya berkelahi, hanyasanya orang-orang yang keras (kuat) ialah orang yang dapat menguasai dirinya di waktu sedang marah-marah."
(Muttafaq 'alaih)

-Riyadhus Saliheen-
Hadith ke-21, Bab ke-3 ( Sabar )




Marah itu mudah, sabar itu indah.

Sebagaimana hadith di atas, Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan kepada kita betapa kuatnya seorang yang dapat menahan kemarahannya.

Dalam seharian hidup kita, pasti ada perkara yang berlaku yang mampu menggugat kesabaran kita.

Mungkin kerana kita diejek rakan kerana rupa paras kita, atau mungkin kerana barang kesayangan kita hilang entah ke mana.

Apa kata kita renung sejenak kisah di bawah ini yang dipetik dari sebuah buku tempatan.





* * * * *

Ketika itu Sultam Muhammad al-Fateh masih berada di luar kota Konstantinopel. Baginda menunggang seekor kuda putih sambil berteriak memberi semangat kepada tenteranya supaya terus menyerbu ke dalam kota Konstantinopel. Maharaja Konstantine dapat mengecam Sultan Muhammad al-Fateh lalu bercadang hendak membunuhnya.

"Wahai anak muda! Turun dari kuda itu, mari kita bertarung satu lawan satu!" teriak Maharaja Konstantine.

Sultan Muhammad al_fateh segera turun dari kuda yang ditunggangnya bagi menyahut cabaran itu.

"Siapa engkau wahai orang tua?" teriak Sultan Muhammad al-Fateh.

"Akulah Maharaja Konstantine. Lebih baik perintahkan tentera engkau supaya menyerah ataupun aku bunuh engkau!" teriak Maharaja Konstantine pula.

"Benarkah engkau ini Maharaja Konstantine? Di mana mahkota kebesaran yang engkau bangga-banggakan? Mengapa engkau memakai pakaian tentera?" tanya Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda hampir tidak mengenali Maharaja Konstantine.

"Hari ini aku bukan lagi seorang maharaja. Tetapi tentera biasa. Tindakan aku ini bagi menaikkan semangat tentera Rom. Mereka terus berperang sehingga mencapai kemenangan," jawab Maharaja Konstantine.

"Hari ini engkau mati sebagai tentera biasa bukan sebagai maharaja!" balas Sultan Muhammad al-Fateh.

Berlaku pertarungan antara mereka. Ternyata Maharaja Konstantine bukan lawan anak muda yang penuh bertenaga dan bersemangat waja itu. Sultan Muhammad al-Fateh yang mahir menggunakan pedang terus melakukan serangan sehingga menyebabkan Maharaja Konstantine tercungap-cungap kepenatan.

"Lebih baik engkau menyerah dan serahkan Konstantinopel kepada kami," kata Sultan Muhammad al-Fateh.

"Tidak!" teriak Maharaja Konstantine.

Baginda mengumpul segenap kekuatan lalu menyerang Sultan Muhammad al-Fateh dengan pedangnya. Tetapi serangan itu berjaya ditangkis oleh lawannya. Kemudian giliran Sultan Muhammad al-Fateh pula menyerang sehingga pedang di tangan Maharaja Konstantine terlucut dari tangannya. Pada ketika itu Sultan Muhammad al-Fateh mahu menamatkan riwayat hidup Maharaja Konstantine.

Maharaja Konstantine sedar baginda tidak dapat mengalahkan lawannya. Pedang di tangannya pula sudah terlucut dari pegangannya. Dan baginda tidak sempat menggunakan pedang kedua yang masih tersisip pada pinggangnya. Cuma ada satu sahaja senjata yang dia masih ada. Tiba-tiba Maharaja Konstantine meludah muka Sultan Muhammad al-Fateh. Dengan tiba-tiba Sultan Muhammad al-Fateh tidak jadi membunuh Maharaja Konstantine.

"Mengapa engkau tidak bunuh aku?" tanya Maharaja Konstantine.

"Tadi aku hendak membunuh engkau kerana Allah, tetapi selepas engkau meludah mukaku, aku menjadi marah. Aku tidak mahu membunuh engkau kerana marah," jawab Sultan Muhammad al-Fateh lalu berpaling hendak berlalu dari situ.

Sebaik sahaja Sultan Muhammad al-Fateh membelakanginya, Maharaja Konstantine menghunuskan pedang kedua yang tersisip pada pinggangnya. Baginda cuba menikam lawannya dari belakang. Panglima Amir Pasya yang berada di situ segera bertindak pantas. Dia mengayun pedangnya lalu berjaya memutuskan tangan kanan Maharaja Konstantine. Kemudian Sulaiman Oglo pula menyerang dan berjaya menjatuhkan Maharaja Konstantine. Topi besi yang dipakainya tertanggal. Panglima Amir Pasya dengan pantas memenggal leher Maharaja Konstantine.


Dipetik daripada : SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH PENAKLUK KONSTANTINOPEL
- Abdul Latip Talib -









* * * * *
Cool kan Sultan Muhammad al-Fateh?

Jadi memang betullah sabda Rasulullah bahawa orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan kemarahannya.

Orang yang dapat menahan kemarahannya tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Mereka ini semestinya dijanjikan oleh Allah akan ganjaran syurga di akhirat kelak. Insya-Allah.

Semoga marah yang mudah hadir dalam diri kita ini membuat kita selalu bersabar dan memberikan sebenarnya satu jalan yang mudah untuk ke syurga, iaitu hanya dengan menahan kemarahan. (^_^)


Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.


( Iaitu ) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.

'Imran : 133-134
Bookmark and Share

Wednesday 7 December 2011

Ahmad Wafi Husaini

Assalamualaikum teman-temanku,
Ingin aku khabarkan padamu,
Betapa gembira rasa hatiku,
Bila terdengar khabaran itu...

Anak itu Ahmad Wafi Hussaini,
Itulah nama yang telah diberi,
Moga hadirmu membawa erti,
Ayah dan ibu terubat hati...

10 Muharram itulah tarikhnya,
Hari As-syura hari bermakna,
Moga kau menjadi insan bertaqwa,
Dalam menegakkan ajaran agama...

Wahai sahabatku Dalila dan Azri,
Buat kalian suami dan isteri,
Ucapan tahniah ikhlas kuberi,
Moga hari-hari kalian tambah berseri...

2011 menjadi saksi,
Lahirnya dua insan yang suci,
Keluarga Olomouc lama ternanti,
Akan hadirnya anak-anak kecil ini...




Nukilan : Fantasia[071211]
Bookmark and Share