Friday, 5 August 2011

Madrasah as-Syaitan

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; "Apabila menjelmanya Ramadhan, nescaya dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."
( HR al-Bukhari dan Muslim )





Alhamdulillah, Ramadhan menjengah lagi dan Allah masih memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini.

Hadith yang saya sertakan ini merupakan antara hadith yang begitu popular dalam kalangan kita sejak daripada kecil lagi.

Bahkan hadith ini juga membuatkan kita berasa sangat terpelihara daripada godaan syaitan dalam kita menempuh bulan Ramadhan yang juga sering digelarkan sebagai "Madrasah Ramadhan".

Maklumlah apabila musuh kita yang paling nyata sudah tiada, maka tiadalah pengganggu dalam ibadah kita sepanjang Ramadhan ini.




MADRASAH RAMADHAN


Saban tahun menjelang Ramadhan, sering kita dengar ungkapan "Mentarbiyyahkan diri dalam madrasah Ramadhan", tidak kiralah di TV, radio mahupun Facebook dan Twitter.


Kata orang, bulan Ramadhan ini merupakan peluang terbaik untuk kita berubah dalam menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.


Mana tidaknya, Nabi Muhammad sendiri telah bersabda bahawa syaitan yang merupakan makhluk yang tugasnya untuk menyesatkan anak cucu Adam telah pun dirantai sebaik menjelmanya bulan Ramadhan.


Tambahan pula, Ramadhan ini juga disertakan dengan satu kelebihan yang tiada di bulan-bulan lain iaitu malam al-Qadr ataupun Lailatul Qadr.


Sebagaimana firman Allah s.w.t. :






Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

al-Qadr : 1-5

Selain itu, solat terawikh juga hanya terdapat pada bulan Ramadhan. Maka kelihatanlah pada setiap malam surau-surau dan masjid-masjid yang kebiasaannya lengang menjadi penuh pada waktu Isyak kerana kehadiran umat Islam yang ingin mendirikan solat sunat yang ada pada bulan ini sahaja.

Persoalannya, mampukah madrasah ini mentarbiyyahkan diri kita untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya?

Adakah diri kita mampu menjejakkan kaki ke masjid-masjid sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bangun sebelum masuknya Subuh sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bersedekah dan beramal jariah sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Jika anda mampu, TAHNIAH!!! Andalah 'graduan' madrasah Ramadhan!!!




MADRASAH AS-SYAITAN

Sekarang kita berbicara pula tentang madrasah yang kedua yang merupakan tajuk kepada 'post' ini.

Sebelum kita memasuki bulan Ramadhan, kita telah berada di madrasah ini selama 11 bulan. Sedarkah kita?

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, mampukah kita mentarbiyyahkan diri kita sehabis mungkin dalam bulan Ramadhan agar kita bersedia menghadapi bulan-bulan selain Ramadhan yang penuh dengan godaan syaitan.

Namun, lain pula bagi 'pensyarah' yang bernama SYAITAN.

Mereka bukan sahaja mendidik anak didiknya, malah juga menggilap nafsu yang ada pada anak didik mereka agar nafsu inilah yang bakal meneruskan tarbiyyah anak didik madrasah as-Syaitan sepanjang ketiadaan pensyarah mereka ini.





Lihatlah betapa berjaya madrasah ini sehingga mampu melahirkan begitu ramai graduan yang berkualiti.

Bukan itu sahaja, mereka juga diajar cara-cara untuk menjadi seorang 'pensyarah' sebaik ketiadaan pensyarah mereka ini agar bertambah ramai penuntut di madrasah ini dalam usaha menggagalkan usaha murni segelintir penuntut madrasah Ramadhan.

Dalam kesibukan umat Islam mecari keredhaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, di sinilah dapat kita lihat kelibat-kelibat mereka yang bergelar 'graduan' madrasah as-Syaitan.

Mereka ini tidak berpuasa di saat orang lain berpuasa.

Mereka ini tidak mendirikan solat di saat orang lain melipatgandakan solat wajib dan sunat.

Mereka ini sibuk memboroskan wang di bazar Ramadhan di saat orang lain memperbanyak sedekah.

Mereka ini sibuk menonton televisyen di saat orang lain berpusu-pusu menghadiri majlis ilmu.

Mereka ini masih mendedahkan aurat di saat orang lain menjaga maruah dan harga diri.

Bukan ini sahaja, malah banyak lagi yang ada pada mereka ini hasil didikan syaitan ke atas musuh manusia selepas syaitan iaitu NAFSU!

Pilihan ada di tangan kita. Lapangkan dada, panjatkan doa dan beristikharahlah dalam membuat keputusan sama ada memilih madrasah Ramadhan ataupun madrasah as-Syaitan.





Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi insan yang bergelar graduan madrasah Ramadhan. Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita tidak termasuk golongan yang berjaya dididik oleh musuh kita yang paling nyata iaitu syaitan. aminnnn....

## Syaitan diikat semasa bulan Ramadhan, jadi hantu raya wujud atau tidak? V(^_^)V
Bookmark and Share

Monday, 1 August 2011

Aku Maafkan Kau...

Al-Ahnaf bin Qais, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia. Beliau digelar Abu Bahr dan berasal dari Bani Tamim. Dia dipanggil "al-Ahnaf" kerana kecacatan di kakinya.

Budi pekertinya refleksi akhlak Nabi s.a.w. Betapa harumnya nama al-Ahnaf sehingga diumpamakan, "lebih lemah-lembut berbanding al-Ahnaf" ( ahlam min al-Ahnaf ).

Pernah diriwayatkan suatu hari ada seorang lelaki mengutuk dan mengeji al-Ahnaf.

Apa tindak balasnya?

Al-Ahnaf pergi dari situ dan tidak membalas kejian dan makian lelaki tersebut. Kejian dan makian tersebut tidak diendahkan, seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Langkahnya diteruskan walaupun lelaki yang mengejinya tadi tetap mengikut langkah kakinya dan terus mengutuknya. Lagak al-Ahnaf masih seperti tadi, tenang dan tidak menghiraukannya.

Sebaik sahaja menghampiri kawasan kediamannya, al-Ahnaf berhenti. Langkahnya kaku. Dipandang lelaki yang mengejinya tadi lantas berkata : "Jika masih ada apa-apa yang engkau ingin katakan, maka luahkan segala-galanya sebelum penghuni kejiranan ini mendengar kata-katamu dan mula menyakitimu."




Dalam kisah yang lain pula, seorang lelaki mengutuknya dan mengejinya. Al-Ahnaf sekadar diam tidak berkata apa-apa walau sepatah.

Lelaki tersebut tidak berputus asa, tetap meneruskan misinya mengutuk dan menghina al-Ahnaf sehinggalah tiba waktu makan tengah hari.

Al-Ahnaf berkata kepadanya : "Ini dia makanan tengah hari kami. Jom makan bersama kami."

Ajakan al-Ahnaf itu sungguh-sungguh, ikhlas dari hatinya. Bukan ajak-ajak ayam atau ajakan sinis. Lelaki yang menghinanya itu malu. Usahanya ibarat mencurah air ke daun keladi, sia-sia dan tidak bermanfaat.




Demikianlah akhlak al-Ahnaf yang lemah-lembut, pemaaf, tidak berdendam dan tidak baran, malah berhikmah dalam menghadapi sebarang situasi.


-Solusi 29-


Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith dari Anas al-Juba'i bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyeru pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk sampai disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu." ( HR Ahmad dengan sanad hasan )



Bookmark and Share

Saturday, 9 July 2011

Aku Ibarat Kunang-Kunang

Aku ibarat kunang-kunang. Dalam gelap aku terbang, dalam gelap aku hilang. Beginilah kehidupanku sehari-harian sejak aku ditakdirkan-NYA untuk wujud di muka bumi ini. Di saat sang suria melabuhkan tirainya, meninggalkan alam gelita hanya disuluhi redup samar sang rembulan, tika dan saat inilah, aku seekor kunang-kunang kecil akan keluar meraja di langit malam yang luas terbentang. Dari hulu sampailah ke hilir akan ku redahi. Sekejap-sekejap aku terbang tinggi, sekejap-sekejap aku terbang rendah hinggakan hampir mencecah tanah yang daripadanyalah Allah menjadikan manusia, hamba yang diutuskan-NYA untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan dunia ini.

Namun sayang, dengan tubuhku yang kecil sebegini, ditambah dengan hayatku yang tidaklah selama nabi Allah Nuh yang menjangkau 1000 tahun, mustahil bagi aku untuk menyampaikan dakwah bagi menyeru manusia kembali mencari Yang Maha Esa. Sering kali aku terfikir dan terbayang-bayang akan cerita-cerita yang sering ibuku wadahkan kepadaku sewaktu aku kecil dahulu.






Kata ibuku, dunia datuk dan nenek moyangku dahulu jauh sekali berbeza dengan dunia yang aku tatap pada malam hari ketika aku terbang merentasi gelap malam. Dahulunya, tempat tinggalku ini tidaklah seperti apa yang ada sekarang. Tiada bongkah-bongkah batu yang tingginya sehingga mencakar langit biru, tiada kepul-kepul asap yang mengaburi putihnya awan. Dahulunya, keturunanku hidup dalam keadaan yang sungguh aman di sini, di samping hidup dalam komuniti yang besar kerana masih banyak pohon-pohon hijau yang menjadi tempat mereka berteduh. Manusia pada masa itu pula amatlah prihatin dalam menghargai alam ciptaan Ilahi yang tersergam indah hinggakan mampu membuai mata bagi insan yang meneliti akan keindahan ciptaan-NYA. Subhanallah........

Walaupun begitu, bukanlah ini yang membuatkan aku hairan apabila memikirkannya. Kerana aku tahu bahawa pada masa itu, kemajuan masih lagi belum wujud, manusia pula masih belum merentas memasuki alaf yang baru. Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang mengubah hidup manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang melunturkan akhlak dan pekerti manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang membuatkan goyahnya iman seseorang yang bergelar muslim?






Dalam dunia ku hari ini, aku tidak hairan apabila melihat suasana malam yang tiada bezanya dengan siang hari walaupun embun sudah mula menampakkan diri di hujung-hujung daun yang menghijau dan fajar pula mula menyinsing mengintai langit. Sedarlah wahai manusia, walaupun aku hanya seekor kunang-kunang kecil, namun aku meyedari akan hakikat ciptaan Ilahi bahawa “SUBUH ITU ADALAH PERMULAAN HARI KITA, BUKANNYA MENJADI PENUTUP HARI KITA”.....

Kadang-kala, aku hampir berasa malas melakukan rutin hidupku untuk terbang merentasi gelap malam apabila aku melihat dunia hari ini. Namun aku akur bahawa aku hanya akan mengundang dosa andai aku meninggalkan tugasku yang semestinya melawan Sunnatullah yang ditetapkan Rabbul Izzati. Niatku bukanlah untuk megeji tindak-tanduk manusia. Siapalah aku kepada mereka. Di mata mereka, aku hanya seekor kunang-kunang kecil, barangkali mereka tidak merasa sama sekali akan kewujudanku. Kata-kataku mustahil untuk didengari mereka. Aku terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasad mereka. Mustahil aku ini yang diutuskan untuk membetulkan silap mereka. Tetapi mengapa aku yang kecil inilah yang sedar akan kesilapan mereka? Tetapi mengapa aku yang kecil ini yang terasa sangat akan kealpaan mereka? Kenapa bukan mereka sendiri yang terdetik di hati mereka untuk menginsafi diri?

Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Untuk memakmurkan dunia ini kerana mereka sahajalah makhluk yang Allah kurniakan akal? Khalifah apakah manusia ini sedangkan mereka inilah yang terhuyung-hayang kemabukan di tepi-tepi jalanan. Untuk apa dikurniakan akal kalau masih juga meneguk minuman-minuman syaitan yang jelas sekali diharamkan Allah dalam Al-Quran? Atas alasan apa mereka meneguk arak yang jelas nyata akan menghilangkan kewarasan dan pertimbangan mereka? Sekadar untuk menghilangkan tekanan hidup? Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini dikurniakan akal oleh Allah, akan aku cuba sehabis daya untuk menghargai akal yang Allah kurniakan kepadaku, bukan dirosakkan dengan begitu sahaja.






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Bukankah mereka semua sama juga seperti makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain, diciptakan untuk menjadi hamba Allah? Tetapi kenapa lebih ramai yang menghambakan diri kepada nafsu? Kenapa bukan Allah yang menjadi tempat untuk mereka mengadu? Begitu ramai yang aku lihat menghambakan diri kepada nafsu dunia sehinggakan ada yang sanggup meletakkan maruah dan harga diri mereka lebih rendah daripada tumit kaki mereka sendiri. Kenapa ada wanita yang sanggup menyerahkan diri mereka secara relanya kepada lelaki-lelaki yang ghairah untuk melempiaskan nafsu berahi mereka. Wahai wanita, bukankah harga dirimu itulah yang menjadi mahar paling bernilai kepada suamimu? Kenapa ada pula lelaki yang masih dahagakan layanan pelacur-pelacur murahan di jalanan, sedangkan isteri yang halal untuk mereka perlakukan dibiarkan sahaja menanti di rumah tanpa mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai suami. Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini sudah mampu memikirkan tentang hak yang halal dan haram, kenapa bukan kau wahai manusia yang dikurniakan akal memikirkan semua ini?






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidak dapat aku bayangkan apa yang akan keturunan anak cucu aku nanti tatap jika anak muda yang ada pada hari ini tiada satu pun yang imannya seteguh Saidina Ali, tiada satu pun yang beraninya seperti Salehuddin Al-Ayubi. Ya Allah Ya Tuhanku,  kenapa anak muda yang ada pada hari ini tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai? Kenapa anak muda yang ada hari ini jalannya berpimpinan tangan melebihi mereka yang sudah berkahwin? Halalkah perbuatan mereka ini? Aku hanyalah si kunang-kunang kecil terbang di waktu malam. Namun kenapa masih aku kelihatan anak-anak muda ini pada waktu-waktu sebegini? Di manakah tanggungjawab ibubapa mereka sehingga membiarkan anak-anak muda ini berpeleseran di kala bulan terang mengambang? Bukan ini sahaja yang aku tatap dari hari ke hari, tetapi aku sendiri malu untuk menceritakan. Astaghfirullahala’zim..






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidakkah mereka tahu yang mereka ini Allah indahkan dengan diri yang sempurna? Kenapa tidak mereka hargai keindahan ini dengan menutup aurat-aurat mereka? Bukankah ada eloknya keindahan yang Allah kurniakan dipelihara dan dikongsi bersama mereka yang halal bagi diri mereka sahaja? Adakah mereka ini haiwan seperti aku si kunang-kunang kecil yang Allah tidak gariskan tentang soal aurat? Aku tidak faham kenapa mereka bagaikan ingin bertelanjang di khalayak ramai sedangkan mereka mampu membeli pakaian yang mahal. Tidak malukah mereka? Mengapa ada umat Muhammad yang indah cantik wajahnya ditutup dengan tudung, tetapi dibiarkan sahaja tangan dan kaki tidak bekain? Apakah Islam hanya satu fesyen? Tidak malukah mereka?





Ya Allah, indahnya suasana malam yang Kau ciptakan. Bulan tergantung menampakkan kekuasaan-Mu, dihiasi kerlipan bintang-bintang di langit. Namun kenapa kau wahai manusia mencacatkan malam-malam aku? Kenapa indahnya malam kau corakkan sebegini rupa sehingga cacat cela jadinya? Tidakkah kau sedar wahai manusia bahawa kau dijadikan untuk memakmurkan dunia? Kenapa bukan malam-malammu kau hiasi dengan qiyam untuk bertahajud kepada Allah? Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah kerana menjadikan aku seekor kunang-kunang, yang tidak alpa akan hakikat penciptaanku hanya untuk beribadat kepada-Mu. Jika inilah yang terjadi kepada mereka yang Kau kurniakan akal, aku sangat bersyukur kerana kau menjadikan aku si kunang-kunang kecil tanpa akal untuk berfikir.

Wahai serikandi Islam, bangunlah kau dari lenamu. Wahai panglima Islam, sedarlah kau dari anganmu. Aku hanya seekor kunang-kunang kecil yang setiap masa berzikir memuji Al-Khaliq. Telah aku titipkan kepadamu wahai manusia agar kau berubah kelak. Walaubagaimana sekalipun aku merintih, belum bermakna dapat kau dengari isi hatiku wahai manusia sekalian. Namun aku tetap cuba menegur silapmu wahai manusia kerana aku tahu bahawa selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran dengan hati. Walaupun aku tahu aku si kunang-kunang kecil tidak terdaya untuk mengubah salah silapmu, namun aku tetap mencuba kerana aku tidak mahu kealpaanku ini membuat aku dipersalahkan pada hari pembalasan kelak.......




Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” mereka menjawab, “agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa.”

Al-A’raf : 164


Nukilan : Fantasia[120609]


Karya yang sekian lama tersimpan, dan boleh dikatakan antara yang terawal ditulis sejak jejak kaki dekat bumi Czech Republik.. Moga bermanfaat insya-Allah...
Bookmark and Share

Thursday, 30 June 2011

Beza Antara Kasih Dan Kekasih

ARIS ARIWATAN - 1234


Satu
Kasih nan abadi
Tiada tandingi
Dia yang satu...

Dua
Sayang berpanjangan
Membawa ke syurga
Kasihnya ibu...

Tiga
Lapar dan dahaga
Rela berpayahan
Setianya ayah...

Empat
Mudah kau ketemu
Berhati selalu
Beza antara
Kasih dan kekasih...





Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat dan tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.


an-Nisa : 36



Bookmark and Share

Sunday, 5 June 2011

Kerana Allah Aku Gagal!

"Aku fail exam tadi!!"

"Gagal... Bukan rezeki aku nak lepas kot.."

"Nak buat macam mana, dah Allah nak takdirkan aku fail..."




"Kerana Allah aku gagal? Biar betul tajuk ni? Nak salahkan Allah ke?"

Kalau dalam musim-musim exam macam sekarang, boleh dikatakan selalu sangat kita dengar ayat-ayat macam ayat yang ada di atas.

Ayat-ayat ini pula biasanya terjadi bila kita tidak berjaya mendapat hasil yang baik dalam peperiksaan.

Bukanlah bermaksud memperlekehkan sesiapa yang gagal, kerana kita sendiri tidak tahu bila kita pula akan menerima nasib sebegini.

Persoalannya, adakah elok untuk kita lafazkan ayat-ayat di atas?

Adakah sepertinya kita ini tidak redha akan takdir yang Allah tetapkan kepada kita?




Macam mana pula kalau ayat-ayat sebegini?

"Penat-penat aku usaha, ini je aku dapat?"

"Kalau aku tahu Allah dah takdirkan aku fail, baik aku study relax-relax je!"

"Aku usaha dah, doa dah, solat hajat dah, tawakkal pun dah.. Kenapalah aku fail jugak?"

"Aku tengok dia tu tak study sangat pun, datang surau pun tak, tapi kenapalah dia pulak yang lepas aku ni tak?"




Teruk sangat contoh-contoh atas ni.

Nampak macam contoh yang di atas ini lagi teruk dari contoh-contoh yang sebelumnya.

Alhamdulillah sahabat-sahabat sekitar saya semuanya baik-baik belaka. Tiada antara mereka yang sedih dan kecewanya hingga sanggup berkata-kata sebegini.

Walaubagaimana pun, perkara-perkara sebegini tidak mustahil untuk berlaku dan sangatlah tidak pelik jika kita terdengar akan kata-kata sebegini.

Kerana manusia ini sifatnya memang suka meletakkan kegagalan sendiri kepada orang lain.




Jadi bersempena dengan musin exam ini, mari kita sama-sama berfikir sejenak kenapa agaknya Allah gagalkan usaha kita jika kita ini hamba-Nya yang beriman dan benar-benar mengharapkan keredhaan-Nya?

  • Kenapa Aku Sering Diuji?
"Kenapa Allah gagalkan aku sedangkan aku benar-benar mengharapkan kejayaan?"

Kerana sesungguhnya Allah memberikan kita kegagalan semata-mata untuk menguji keimanan kita. Allah ingin menguji adakah kita ini sekadar mukmin yang benar-benar beriman apabila diberikan rezeki yang baik tetapi kembali ingkar apabila kegagalan yang dijadikan ganjaran.

Ingatlah bahawa selagi Allah menguji kita, selagi itulah kita bertuah kerana kita sebenarnya diberikan perhatian oleh-Nya sedangkan ada insan lain yang dibiarkan hanyut leka dengan kejayaan yang diperoleh.




Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?
Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.

al-'Ankabut : 2-3


  • Kenapa Aku Tidak Dapat Apa Yang Aku Idam-idamkan?
"Kenapalah aku gagal? Kalau aku lulus tadi kan best!"

Allah itu pencipta kita. Pastinya Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Kejayaan itu bukanlah segala-galanya jika ianya tidak membawa hati kita kepada Allah. Mungkin kegagalan itu Allah hadiahkan kepada kita agar kita menjadi lebih beriman di samping mendapat juga kejayaan yang sama walaupun lambat.



Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kau menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

al-Baqarah : 2




  • Kenapa Aku Diuji Ujian Seberat Ini?
"Kenapa aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa mesti aku yang gagal?"

Andai kita tahu besarnya nilai orang yang diuji Allah dengan kegagalan, pasti kita berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana kita dipilih. Allah hanya menguji kita dengan kegagalan kerana Allah itu sifatnya Maha Mengetahui dan benar-benar tahu bahawa kita ini mampu menghadapi ujian sebegini.

Mungkin jika ujian yang sama diberikan kepada orang lain, belum tentu sabar dan tabahnya mereka menghadapi ujian itu akan sebaik yang kita lalui. Ingatlah bahawa semakin Allah menguji kita, semakin bertambahlah perhatian yang Allah berikan kepada kita insya-Allah.




Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dia dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Y Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir."

al-Baqarah : 286




  • Bagaimana Akan Aku Hadapi Ujian Ini?
"Mampukah aku untuk aku hadapi ujian ini?"

Ingatlah kita bahawa hati insan yang menggagalkan kita dalam peperiksaan (profesor), hatinya juga dipegang oleh Allah sebagaimana Allah yang memiliki hati-hati kita. Berdoalah pada Allah agar melapangkan hati mereka untuk meluluskan kita di samping kita berdoa kepada Allah agar mempermudahkan hati kita.

Kita juga perlu yakin bahawa semua ini ujian daripada Allah dan Allah pula menyukai orang-orang yang bersabar dalam menghadapi ujian. Maka bersamalah kita belajar untuk bertabah hati dalam menerima segala ujian yang Allah berikan kepada kita.




Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung.

'Imran : 200



Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

al-Baqarah : 45


  • Apa Yang Boleh Aku Peroleh Dari Ujian Ini?
"Kenapa Allah uji aku sebegini rupa?"

Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang Allah tetapkan itu pasti ada hikmahnya. Tidak kiralah apa jua hikmahnya, kita perlu yakin bahawa setiap yang Allah berikan itu terbaik untuk kita.

Kalau hikmahnya itu tidak kita peroleh di dunia, pastinya ada nikmat yang lebih besar yang Allah sediakan untuk kita yang menanti kita di akhirat kelak. Siapa yang tidak mahu masuk syurga kan?




Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.

at-Taubah : 111




"Kerana Allah aku gagal!"

Setelah panjang dijelaskan di atas, bolehlah disimpulkan di sini yang walaupun kejayaan yang kita kejar, pastinya kadang kala kegagalan itu akan datang menjenguk kita.

Namun kegagalan itu juga datangnya daripada Allah sebagai satu tarbiyah dalam Allah mendidik kita untuk menjadi mukmin yang lebih matang dan lebih bersedia menghadapi ujian yang lebih besar.

Allahu'alam...

Kepada semua sahabat-sahabat, selamat berjuang dalam menghadapi peperiksaan. Hasil itu datangnya kemudian, yang pentingnya usaha, insya-Allah. Ma'at taufiq wannajah.. Aminnn...



Bookmark and Share

Monday, 30 May 2011

Ingin Dicintai?

Cinta?

"Wahh!! Bestnya kalau ada orang cintakan aku!"

"Cinta? Taknaklah! Nanti kecewa!"

"Tak beranilah. Aku tak padan dengan dia."




Cinta?

Dalam zaman sekarang, bercinta itu mudah. Sangat mudah. Namun, untuk dapatkan cinta yang sejati, sangatlah susah.

Mana tidaknya, wanita yang ingin dicintai mestilah kalau boleh yang sedap mata memandang, tinggi pelajarannya, baik akhlaknya, pandai memasak dan macam-macam lagilah.

Sudah jumpa yang beragama, tetapi kurang cantiknya, maka ditolaknya cinta.


REJECT!


Itu kalau lelaki yang memilih wanita. Kalau wanita pula?

Lelaki itu mestilah kena kacak, kaya, berkerjaya, alim orangnya dan macam-macam lagi. Senang cerita, yang boleh buatkan hidup jadi senang.

Sudah berkenan dengan yang kacak, yang bila perempuan lain tengok 'sure' terpikat, tapi kerjanya pula tak seberapa. Maka yang ini pun ditolaknya.




"Haiiihhh!!! Susahnya nak bercinta kalau kurang sikit je reject!"

Kalau ditolak kerana kekurangan kita, mungkin kita boleh perbaiki. Tapi apa kan daya kalau diri kita ditolak kerana kita tak sekacak lelaki lain? Kalau kita tak secantik wanita lain?

"Dia reject kau sebab kau tak cukup tinggi?"

"Dia reject kau sebab kau tak cukup putih?"




Semua ini terjadi kerana cinta!

Hanya bila kita berbicara tentang cinta!

Tapi kalau bercakap tentang 'CINTA', pastinya semua ini tidak berlaku!




"Siapa kata rendah itu kekurangan?"

"Siapa kata gelap itu keburukan?"

Mana mungkin Allah ciptakan sesuatu yang tidak indah!

Semua ini kerana manusia yang menjadikannya ukuran. Buruk dan cantiknya manusia di mata manusia lain kerana suatu standard yang manusia sendiri tetapkan.

Tak mengapa kalau kita tak dicintai!

Tapi rugilah kita kalau tak DICINTAI!




Siapa Orang Yang Allah CINTAI?


  • Orang yang bertaqwa



Kecuali orang-orang musyrik yang telah mengadakan perjanjian dengan kamu dan mereka sedikit pun tidak mengurangi (isi perjanjian) dan tidak pula mereka membantu seorang pun yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sungguh Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.


at-Taubah : 4



  • Orang yang cepat-cepat bertaubat, Orang yang menyucikan diri


Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid. Katakanlah, "Itu adalah sesuatu yang kotor." Kerana itu jauhilah isteri pada waktu haid; dan jangan kamu dekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, campurilah mereka sesuai dengan (ketentuan) yang diperintahkan Allah kepadamu. Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri. 

al-Baqarah : 222


  • Orang yang adil


Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

al-Mumtahanah : 8


  • Orang yang bertawakkal


Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membuatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal.

'Imran : 159


  • Orang yang berbuat kebaikan


Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat bailklah, Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

al-Baqarah : 195


  • Orang berjuang pada jalan Allah


Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

as-Saff : 4




Semoga kita semua berada di bawah CINTA-NYA insya-Allah....

Aminnn...
Bookmark and Share

Tuesday, 24 May 2011

Isteri Terbaik

Siapakah wanita pertama yang beriman pada awal kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.?

Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya di saat insan lain enggan membantu Nabi Muhammad s.a.w.?

Siapakah wanita yang memberikan Nabi Muhammad s.a.w. zuriat?

Siapakah wanita yang menenangkan hati suami yang gundah di saat insan lain membenci Nabi Muhammad s.a.w.?

Semua jawapan ini hanya ada pada satu insan yang sangat mulia di sisi Nabi Muhammad s.a.w. dan juga di sisi Islam kerana mulia pekertinya selaku hamba kepada Allah dan isteri kepada utusan Allah.


Menelusuri kisah cinta Rasulullah s.a.w. dan Khadijah r.a.


KHADIJAH AL-KHUWAILID

  • Terkenal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid
  • Lahir di Umm al-Qura, Makkah sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah
  • Berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad
  • Digelar al-Tahirah (wanita suci) sejak zaman jahiliah kerana sikapnya yang sukakan kebersihan dan kesucian
  • Seorang usahawan wanita yang terkemuka sehinggakan satu kafilah dagangnya yang dihantar ke Syria menyamai dengan konsortium beberapa kafilah dagang Quraisy




Sebagaimana yang kita tahu, Khadijah bukanlah satu-satunya wanita yang dikahwini Nabi Muhammad s.a.w.

Namun, mengapakah Khadijah digelar sebagai isteri terbaik?

Ini kerana beliau mempunyai keutamaan yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain. Antaranya ialah :

  • Isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w. sekaligus menjadi kekasih pertama di hati Nabi
  • Rasulullah s.a.w. tidak menikahi wanita lain selama mana Khadijah masih hidup 
"Selama hidup bersama-sama Khadijah, Nabi s.a.w. tidak menikahi wanita lain sampai Khadijah meninggal dunia." - Riwayat Muslim -

  • Rasulullah s.a.w. tidak mengambil hamba wanita selama mana Khadijah masih hidup
  • Isteri yang memberikan keturunan kepada Rasulullah s.a.w.
  • Rasulullah s.a.w. tidak pernah merasa marah kepada isteri ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Baginda hanya marah (marah-marah sayang) setelah mempunyai ramai isteri atas kesalahan dan karenah mereka
  • Insan pertama yang solat bersama Rasulullah s.a.w.
  • Wanita pertama antara isteri-isteri nabi yang mendapat jaminan syurga
  • Insan pertama menerima salam daripada Allah
Abu Hurairah menyatakan bahawa Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. sambil berkata : "Wahai Rasulullah, Khadijah sedang berjalan ke mari. Dia membawa bekas yang berisi kuah, makanan dan minuman. Jika dia sampai kepadamu, maka katakanlah bahawa Tuhan-Nya dan aku berkirim salam kepadanya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepadanya bahawa dia akan mendapat sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada buluh, yang tidak risik (bising atau riuh) dan tidak melelahkan." (Muttafaq 'alaih)

  • Wanita pertama yang masuk dalam kategori siddiq (yang benar)
  • Insan pertama yang kuburnya disiapkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.





Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.  sehinggakan dimuliakan oleh suami ketika hidup dan sesudah meninggal dunia.

Pujian yang sentiasa keluar daripada bibir Nabi Muhammad s.a.w. terhadap Khadijah sentiasa menimbulkan cemburu di hati Aisyah r.a. biarpun ketika itu Khadijah r.a. sudah pun meninggal dunia.


Aisyah berkata, "Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuanku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut namanya..." (Muttafaq 'alaih)




Aisyah melanjutkan cerita,"Jika Rasulullah s.a.w. menyembelih kambing, maka Baginda berkata, 'Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.' Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata, 'Lagi-lagi Khadijah!' Baginda berkata, ' Sesungguhnya saya amat mencintainya.'" (Muttafaq 'alaih)




TAHUN KEDUKAAN

Di saat dakwah Islam mencecah tahun ke-10 dan mengalami peristiwa besar, Rasulullah s.a.w. mengalami ujian getir apabila Allah menjemput kekasih hatinya.

Selama ini Khadijah merupakan insan yang berdiri teguh di belakang Rasulullah dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

Hati Baginda bertambah pilu apabila pemergian Khadijah r.a. disusuli kematian Abu Talib yang turut banyak membantu usaha dakwah Baginda.

Peristiwa ini diisytiharkan sebagai "Tahun Kedukaan".




Semoga srikandi-srikandi Islam menjadikan Khadijah r.a. sebagai contoh dalam menjadi isteri yang bukan sahaja dicintai suaminya, bahkan dicintai Allah.

Semoga perwira-perwira Islam menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh dalam memberikan isterinya sepenuh kecintaan dan didikan yang dituntut oleh Allah.

Insya-Allah... Aminnn...
Bookmark and Share