Saturday, 9 July 2011

Aku Ibarat Kunang-Kunang

Aku ibarat kunang-kunang. Dalam gelap aku terbang, dalam gelap aku hilang. Beginilah kehidupanku sehari-harian sejak aku ditakdirkan-NYA untuk wujud di muka bumi ini. Di saat sang suria melabuhkan tirainya, meninggalkan alam gelita hanya disuluhi redup samar sang rembulan, tika dan saat inilah, aku seekor kunang-kunang kecil akan keluar meraja di langit malam yang luas terbentang. Dari hulu sampailah ke hilir akan ku redahi. Sekejap-sekejap aku terbang tinggi, sekejap-sekejap aku terbang rendah hinggakan hampir mencecah tanah yang daripadanyalah Allah menjadikan manusia, hamba yang diutuskan-NYA untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan dunia ini.

Namun sayang, dengan tubuhku yang kecil sebegini, ditambah dengan hayatku yang tidaklah selama nabi Allah Nuh yang menjangkau 1000 tahun, mustahil bagi aku untuk menyampaikan dakwah bagi menyeru manusia kembali mencari Yang Maha Esa. Sering kali aku terfikir dan terbayang-bayang akan cerita-cerita yang sering ibuku wadahkan kepadaku sewaktu aku kecil dahulu.






Kata ibuku, dunia datuk dan nenek moyangku dahulu jauh sekali berbeza dengan dunia yang aku tatap pada malam hari ketika aku terbang merentasi gelap malam. Dahulunya, tempat tinggalku ini tidaklah seperti apa yang ada sekarang. Tiada bongkah-bongkah batu yang tingginya sehingga mencakar langit biru, tiada kepul-kepul asap yang mengaburi putihnya awan. Dahulunya, keturunanku hidup dalam keadaan yang sungguh aman di sini, di samping hidup dalam komuniti yang besar kerana masih banyak pohon-pohon hijau yang menjadi tempat mereka berteduh. Manusia pada masa itu pula amatlah prihatin dalam menghargai alam ciptaan Ilahi yang tersergam indah hinggakan mampu membuai mata bagi insan yang meneliti akan keindahan ciptaan-NYA. Subhanallah........

Walaupun begitu, bukanlah ini yang membuatkan aku hairan apabila memikirkannya. Kerana aku tahu bahawa pada masa itu, kemajuan masih lagi belum wujud, manusia pula masih belum merentas memasuki alaf yang baru. Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang mengubah hidup manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang melunturkan akhlak dan pekerti manusia? Yang menjadi persoalan kepada diriku, kenapa kemajuan ini yang membuatkan goyahnya iman seseorang yang bergelar muslim?






Dalam dunia ku hari ini, aku tidak hairan apabila melihat suasana malam yang tiada bezanya dengan siang hari walaupun embun sudah mula menampakkan diri di hujung-hujung daun yang menghijau dan fajar pula mula menyinsing mengintai langit. Sedarlah wahai manusia, walaupun aku hanya seekor kunang-kunang kecil, namun aku meyedari akan hakikat ciptaan Ilahi bahawa “SUBUH ITU ADALAH PERMULAAN HARI KITA, BUKANNYA MENJADI PENUTUP HARI KITA”.....

Kadang-kala, aku hampir berasa malas melakukan rutin hidupku untuk terbang merentasi gelap malam apabila aku melihat dunia hari ini. Namun aku akur bahawa aku hanya akan mengundang dosa andai aku meninggalkan tugasku yang semestinya melawan Sunnatullah yang ditetapkan Rabbul Izzati. Niatku bukanlah untuk megeji tindak-tanduk manusia. Siapalah aku kepada mereka. Di mata mereka, aku hanya seekor kunang-kunang kecil, barangkali mereka tidak merasa sama sekali akan kewujudanku. Kata-kataku mustahil untuk didengari mereka. Aku terlalu kecil jika dibandingkan dengan jasad mereka. Mustahil aku ini yang diutuskan untuk membetulkan silap mereka. Tetapi mengapa aku yang kecil inilah yang sedar akan kesilapan mereka? Tetapi mengapa aku yang kecil ini yang terasa sangat akan kealpaan mereka? Kenapa bukan mereka sendiri yang terdetik di hati mereka untuk menginsafi diri?

Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Untuk memakmurkan dunia ini kerana mereka sahajalah makhluk yang Allah kurniakan akal? Khalifah apakah manusia ini sedangkan mereka inilah yang terhuyung-hayang kemabukan di tepi-tepi jalanan. Untuk apa dikurniakan akal kalau masih juga meneguk minuman-minuman syaitan yang jelas sekali diharamkan Allah dalam Al-Quran? Atas alasan apa mereka meneguk arak yang jelas nyata akan menghilangkan kewarasan dan pertimbangan mereka? Sekadar untuk menghilangkan tekanan hidup? Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini dikurniakan akal oleh Allah, akan aku cuba sehabis daya untuk menghargai akal yang Allah kurniakan kepadaku, bukan dirosakkan dengan begitu sahaja.






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Bukankah mereka semua sama juga seperti makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain, diciptakan untuk menjadi hamba Allah? Tetapi kenapa lebih ramai yang menghambakan diri kepada nafsu? Kenapa bukan Allah yang menjadi tempat untuk mereka mengadu? Begitu ramai yang aku lihat menghambakan diri kepada nafsu dunia sehinggakan ada yang sanggup meletakkan maruah dan harga diri mereka lebih rendah daripada tumit kaki mereka sendiri. Kenapa ada wanita yang sanggup menyerahkan diri mereka secara relanya kepada lelaki-lelaki yang ghairah untuk melempiaskan nafsu berahi mereka. Wahai wanita, bukankah harga dirimu itulah yang menjadi mahar paling bernilai kepada suamimu? Kenapa ada pula lelaki yang masih dahagakan layanan pelacur-pelacur murahan di jalanan, sedangkan isteri yang halal untuk mereka perlakukan dibiarkan sahaja menanti di rumah tanpa mereka melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai suami. Kalaulah aku si kunang-kunang kecil ini sudah mampu memikirkan tentang hak yang halal dan haram, kenapa bukan kau wahai manusia yang dikurniakan akal memikirkan semua ini?






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidak dapat aku bayangkan apa yang akan keturunan anak cucu aku nanti tatap jika anak muda yang ada pada hari ini tiada satu pun yang imannya seteguh Saidina Ali, tiada satu pun yang beraninya seperti Salehuddin Al-Ayubi. Ya Allah Ya Tuhanku,  kenapa anak muda yang ada pada hari ini tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai? Kenapa anak muda yang ada hari ini jalannya berpimpinan tangan melebihi mereka yang sudah berkahwin? Halalkah perbuatan mereka ini? Aku hanyalah si kunang-kunang kecil terbang di waktu malam. Namun kenapa masih aku kelihatan anak-anak muda ini pada waktu-waktu sebegini? Di manakah tanggungjawab ibubapa mereka sehingga membiarkan anak-anak muda ini berpeleseran di kala bulan terang mengambang? Bukan ini sahaja yang aku tatap dari hari ke hari, tetapi aku sendiri malu untuk menceritakan. Astaghfirullahala’zim..






Bagaimana manusia itu boleh dilantik oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah di bumi Allah? Tidakkah mereka tahu yang mereka ini Allah indahkan dengan diri yang sempurna? Kenapa tidak mereka hargai keindahan ini dengan menutup aurat-aurat mereka? Bukankah ada eloknya keindahan yang Allah kurniakan dipelihara dan dikongsi bersama mereka yang halal bagi diri mereka sahaja? Adakah mereka ini haiwan seperti aku si kunang-kunang kecil yang Allah tidak gariskan tentang soal aurat? Aku tidak faham kenapa mereka bagaikan ingin bertelanjang di khalayak ramai sedangkan mereka mampu membeli pakaian yang mahal. Tidak malukah mereka? Mengapa ada umat Muhammad yang indah cantik wajahnya ditutup dengan tudung, tetapi dibiarkan sahaja tangan dan kaki tidak bekain? Apakah Islam hanya satu fesyen? Tidak malukah mereka?





Ya Allah, indahnya suasana malam yang Kau ciptakan. Bulan tergantung menampakkan kekuasaan-Mu, dihiasi kerlipan bintang-bintang di langit. Namun kenapa kau wahai manusia mencacatkan malam-malam aku? Kenapa indahnya malam kau corakkan sebegini rupa sehingga cacat cela jadinya? Tidakkah kau sedar wahai manusia bahawa kau dijadikan untuk memakmurkan dunia? Kenapa bukan malam-malammu kau hiasi dengan qiyam untuk bertahajud kepada Allah? Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah kerana menjadikan aku seekor kunang-kunang, yang tidak alpa akan hakikat penciptaanku hanya untuk beribadat kepada-Mu. Jika inilah yang terjadi kepada mereka yang Kau kurniakan akal, aku sangat bersyukur kerana kau menjadikan aku si kunang-kunang kecil tanpa akal untuk berfikir.

Wahai serikandi Islam, bangunlah kau dari lenamu. Wahai panglima Islam, sedarlah kau dari anganmu. Aku hanya seekor kunang-kunang kecil yang setiap masa berzikir memuji Al-Khaliq. Telah aku titipkan kepadamu wahai manusia agar kau berubah kelak. Walaubagaimana sekalipun aku merintih, belum bermakna dapat kau dengari isi hatiku wahai manusia sekalian. Namun aku tetap cuba menegur silapmu wahai manusia kerana aku tahu bahawa selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran dengan hati. Walaupun aku tahu aku si kunang-kunang kecil tidak terdaya untuk mengubah salah silapmu, namun aku tetap mencuba kerana aku tidak mahu kealpaanku ini membuat aku dipersalahkan pada hari pembalasan kelak.......




Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” mereka menjawab, “agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa.”

Al-A’raf : 164


Nukilan : Fantasia[120609]


Karya yang sekian lama tersimpan, dan boleh dikatakan antara yang terawal ditulis sejak jejak kaki dekat bumi Czech Republik.. Moga bermanfaat insya-Allah...
Bookmark and Share