Monday 28 March 2011

Sayidina Umar : Pemimpin Berintegriti

PERISTIWA 1 :

Sayidina Umar sering meninjau keadaan rakyatnya secara senyap pada malam hari.

Di suatu pondok beliau terdengar kanak-kanak menangis menunggu ibunya yang sedang menjerang sesuatu (sebenarnya beberapa ketul batu dalam belanga). Atas sebab kemiskinan, agar anak-anaknya yang lapar itu penat menunggu dan terlelap.

Mengetahui keadaan itu, Sayidina Umar sendiri memikul guni gandum, lalu meletakkan di pintu rumah ibu tunggal itu.



PERISTIWA 2 :

Suatu hari ketika Sayidina Umar dan temannya sedang meronda, mereka terdengar seorang anak perempuan sedang memprotes akan tindakan ibunya.

"Ibu, kita tak boleh mencampurkan air kepada susu yang akan dijual (supaya menjadi banyak) kerana dilarang oleh Khalifah Umar."

Kata ibunya, "Khalifah Umar tidak berada di sini dan beliau tidak akan tahu perkara ini!"

Sahut anak perempuannya, "Kalaupun Umar tidak berada di sini, tetapi Tuhan Umar Maha Melihat, Maha Tahu!"

Lalu si ibu tidak jadi meneruskan hajatnya dan akur terhadap teguran anaknya.

Di atas keyakinan dan kejujuran anak gadis itu, beliau telah menjadikan gadis itu menantunya.





PERISTIWA 3 :

Suatu hari, Sayidina Umar masuk kedalam rumah seorang penduduk melalui tingkap bagi mengintip lalu menangkap lelaki yang sedang minum arak.

Beliau hendak menjatuhkan hukuman, lalu lelaki itu membela dirinya :

"Saya melakukan satu kesalahan iaitu minum minuman haram di dalam rumah saya secara sembunyi! Sedangkan Umar melakukan tiga kesalahan dalam menjalankan tugas iaitu masuk secara haram (melalaui tingkap), mengintip seorang Muslim dan menceroboh (tanpa izin)."

Lalu Sayidina Umar tidak menghukum kerana dianggap menzalimi lelaki itu!


38:26

(Allah berfirman), "Wahai Dawud! Sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan."

Sad : 26



PERISTIWA 4 :

Suatu ketika, Sayidina Umar mendapat baju rampasan perang sebanyak dua helai sedangkan orang lain cuma sehelai sahaja.

Lalu mereka meminta penjelasan daripada beliau.

Dalam keadaan serba salah itu, Ibnu Umar (Abdullah bin Umar r.a.) cuba menyelamatkan keadaan dengan menerangkan bahawa baju kedua itu adalah kepunyaan beliau yang dihadiahkan kepada bapanya (Sayidina Umar) kerana terlalu besar buat beliau, sedangkan kepunyaan bapanya agak kecil.

Dengan penjelasan itu, barulah sahabat berpuas hati!


- Solusi 8 -



-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-o-

Daripada empat kisah di atas, jelas sekali tertonjol sifat kepimpinan Islam sebagaimana yang digariskan oleh Allah s.w.t.

Walau bagaimanapun, semua sifat-sifat ini kian terhakis daripada diri umat yang ada pada hari ini.

Malah yang lebih merisaukan kita, sifat kepimpinan Islam ini turut terhakis daripada diri pemimpin-pemimpin yang mengetuai negara-negara Islam pada hari ini.

Lihatlah apa yang berlaku dalam tahun 2011 ini. Begitu jelas sekali kebangkitan umat menentang pemimpin yang tidak berlandaskan syariat Islam.

Bermula dengan penentangan ke atas Zayn al-'Abidin bin 'Ali di Tunisia, diikuti dengan Muhammad Husni Mubarak di Mesir, dan juga yang masih lagi berlaku hingga ke hari ini iaitu Mu'ammar al-Qaddafi di Libya.


File:Zine El Abidine Ben Ali.jpg
Zayn al-'Abidin bin 'Ali
File:Muammar al-Gaddafi at the AU summit.jpg
Mu'ammar al-Qaddafi
File:Hosni Mubarak ritratto.jpg
Muhammad Husni Mubarak


Malah gerakan-gerakan ini bukan sekadar terhenti di situ sahaja. Semangat-semangat mereka turut menggerakkan kebangkitan sebagaimana di Yaman dan juga Bahrain. Siapa tahu, selepas ini makin banyak negara-negara Islam yang berjuang menuntut hak Allah.

Alhamdulillah, umat kita hari ini semakin sedar bahawa kepimpinan yang berlandaskan Islam itu perlu dalam melahirkan umat yang layak digelar sebagai khalifah.

Sebagaimana dalam empat kisah di atas, jelas sekali sifat-sifat sebeginilah yang diperlukan oleh pemimpin kita pada hari ini.

Ayuh umatku!

Jadikanlah Rasulullah s.a.w. sebagai teladan dalam menjadi pemimpin, dan cedoklah sebanyak mungkin kebaikan dalam kepimpinan Khulafa ar-Rasyidin agar kebangkitan yang tercetus ini bukannya berakhir dengan sia-sia, tetapi berakhir dengan tertegaknya kalimah La ilaha illallah di muka bumi ini.

Insya-Allah... (^_^)



Bookmark and Share

Tuesday 22 March 2011

Syaitan Kejut Subuh???

Satu hari, akibat keletihan yang amat sangat, Syeikh Abdul Qadir al-Jilani hampir terlewat bangun tidur walaupun waktu subuh hampir tiba.

Melihat keadaan itu, syaitan telah menyamar menjadi seekor kucing dan menggigit ibu jari kaki Syeikh Abdul Qadir.

Syeikh Abdul Qadir pun terbangun. Mujur waktu Subuh baru sahaja masuk. Dalam pandangan mata, Syeikh dapat melihat syaitan yang berupa kucing itu.

"Mengapa kau kejutkan aku untuk solat Subuh, padahal kau amat benci kepada orang yang solat?"

"Aku bimbang sekiranya kau terlewat bangun Subuh," jawab syaitan.




Kehairanan, Syiekh Abdul Qadir lalu bertanya, "Kenapa?"

Syaitan terpaksa menjawab kerana dia takut kepada orang yang takutkan Allah.

"Aku takut jika kau terlewat untuk solat Subuh, kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan-amalan yang lain dengan banyak dan lebih serius," kata syaitan.

Tambah syaitan itu lagi, "Kau akan bersedekah. Kau akan membantu orang lain. Kau akan mengajar lebih lama. Kau akan membaca al-Quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Dengan itu nanti, aku dan kawan-kawanku pula akan bertambah susah. Kerja kami akan bertambah banyak dan sukar. Jadi, lebih baik kamu solat Subuh tepat pada waktunya, dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baikmu itu nanti!"


PENGAJARAN :

Begitulah kreatif dan inovatifnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Dia bukan sahaja arif tentang amalan baik dan jahat tetapi dia juga arif tentang keutamaan amal.

- Solusi 23 -
Bookmark and Share

Sunday 20 March 2011

Secangkir Harapan Pada-Mu Tuhan

KEREDHAAN - IN TEAM


Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ku sedari
Keampunan-Mu tidak bertepi...


39:53


Katakanlah, "Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Az-Zumar : 53






Tuhan
Jangan Kau palingkan hati ini
Setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih...


3:8


(Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

Al-Imran : 8




Subhanallah.. Betapa Allah itu pencipta kita bersifat Maha Mengetahui. Tahu akan sifat hamba-Nya yang melampaui batas.


Namun begitu, Allah membalas keburukan kita dengan sebaliknya. Rahmat dan ampunan bagi mereka yang tidak berputus asa mencari secangkir harapan akan REDHA-NYA...

Bookmark and Share

Friday 18 March 2011

Kelebihan Surah Al-Kahfi

Menurut Ibu Kathir dalam tafsirnya :


Hadis yang diriwayatkan dalam musnad Ahmad, Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa al-Barar bin 'Azib menceritakan seorang sahabat yang bernama Usaid bin al-Khudair telah membaca surah ini di rumahnya, sehingga akhirnya kuda di rumahnya meronta-ronta. Lalu sahabat ini telahpun meninjau keluar rumahnya lalu didapatinya di luar rumah ada sekumpulan awan berdekatan kudanya, lalu bila ditanya kepada Nabi s.a.w. maka baginda telah menjelaskan itulah dia al-sakinah yang diturunkan Allah kepada orang yang mengamalkan membaca surah ini.


Nabi s.a.w. amat menggalakkan umat baginda agar menghafaz surah ini.

Sebagai contonya sesiapa yang menghafaz 10 ayat  yang awal daripada Surah al-Kahfi akan selamat dari gangguan Dajjal seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, al-Nasa'ei dan al-Tirmizi.

Dalam riwayat al-Tirmizi : "Siapa yang menghafaz tiga ayat yang awal dari surah al-Kahfi."

Hadis lain, diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan dianggapnya sahih isnad, maksudnya :


"Sesiapa yang membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan baginya nur antara Jumaat tersebut hingga ke Jumaat yang seterusnya."


Hadis ini dinilai sebagai hasan, kata al-Albani.


al-quran al kahfi


 - Solusi Isu Perdana -
Bookmark and Share

Wednesday 16 March 2011

Ini Satu AMARAN!

Sekadar renungan kita bersama agar kita bermuhasabah atas bencana yang Allah timpakan ini sebagai satu ujian kepada manusia.

Video-video di bawah ini begitu meletup sekali sehinggakan mencecah 3 juta orang yang menontonnya dalam masa 4 hari sahaja!



Betapa cepatnya bencana Allah ini berlaku. Cepatnya sehingga mampu memusnahkan kamajuan nagara matahari terbit ini dengan sekelip mata sahaja.




Betapa azabnya bencana Allah ini sehinggakan ciptaan manusia yang kita rasakan besar seperti kapal ini begitu mudah sekali dihanyutkan arus.




56:4
Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya.
56:5
Dan gunung-gunung dihancurluluhkan sehancur-hancurnya.
56:6
Maka jadilah ia debu yang berterbangan.

Al-Waqi'ah : 4-6

Dalam 3 ayat yang dipetik di atas, sungguh jelas tidak mampu untuk kita bayangkan bagaimana dahsyatnya saat datangnya hari Kiamat nanti jika dugaan 'kecil' yang Allah turunkan kepada kita ini sudah terasa seksanya begitu dahsyat sekali.

Mungkin kita tidak merasa sengsaranya dugaan ini kerana tidak terkena pada batang hidung kita sendiri. Kerana tidak terjadi kepada tanah air kita sendiri.

Tetapi bagi mereka yang menghadapi, pasti jelas berbekas di hati mereka betapa dahsyatnya azab Allah itu.

Jika dalam video rakaman tadi kita dapat lihat rumah-rumah dan kereta-kereta dibawa air bagaikan arus menghanyutknan sampah sahaja.

Terbayangkah kita jika Allah menjanjikan di dalam Al-Quran bahawa suatu hari nanti gunung-gunung itu dihancurkan dan diterbangkan seperti debu-debu?

Masih mustahilkah Kiamat itu jika tsunami itu jelas membuktikannya?

Masih adakah masa untuk kita berpaling daripadanya setelah sampai bukti-bukti kepada kita?

Moga setiap yang terjadi ini mengingatkan lagi kita bahawa usia Bumi kita ini sudah hampir ke penghujungnya.

Ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk kita. Cuma kitalah yang harus merebut peluang yang masih ada ini. Allahua'lam...

Bookmark and Share

Monday 14 March 2011

Jom Join MLM!

Sejak akhir-akhir ini, fenomema Multi Level Marketing ataupun secara ringkasnya lebih dikenali sebagai MLM semakin menjadi-jadi di serata dunia.


Kalau dahulunya ianya lebih menjurus ke arah perniagaan ataupun jualan barang yang memerlukan si ahli mencari lebih ramai orang di bawahnya agar keuntungan yang diterimanya berlipat kali ganda.


Cuma bezanya hari ini, fenomena ini mula menular melalui internet. Facebook juga tidak terkecuali sama sekali.


Di bawah ini saya sertakan dua contoh iklan yang saya rasakan berkait rapat dengan fenomena ini. Rasanya anda juga sudah biasa melihat post-post sebegini di wall FB anda. 


CONTOH 1 :


"Salam..Memerlukan Side Income yg lumayan hanya dari rumah??anda akan dpt RM500-2000 setiap minggu hanya dgn Guna facebook@internet anda sahaja!! dengan hanya login facebook anda boleh menjana pendapat RM100 tiap2 hari..pendapatan yg berterusan dan PASIF...juz msg to my inbox…tq.."


CONTOH 2 :


"Bila kita kaya...,banyak $$$$, semua org suka....semua kawan2 dekat....TAPI bila kita x de duit..., nak lagi kerja pun cukup2 makan jer...ramai x kesah kehadiran kitapun....sampai bila kita harus jadi org biasa2 jer... sdgkan kita leh jadi org luar biasa..........Jangan biarkan org lain tentukan hidup kita...KITA ...JOM SAMA2 MANFAATKAN FB TUK CR SIDE INCOME MCM SAYA YG DAH LPS DR BEBAN KEWANGAN HE.HE....NK TAHU?.....JGN LUPA MSG JE DI INBOX SY YE...DPT KWN BARU DPT BKEBUN...DUIT PN DPT..HE..HE...YG X BMINAT TU... SILA ABAIKAN SAJA YE....TP TAK SALAH KALAU JUST NK TAHU KAN........gaji plak x naik2...camne nk cari duit ni?? ala.. sng je..jom lah sy bantu cr side income just guna fb je...nk tahu detail..MSG INBOX sy ye.."




Tujuan saya menulis kali ini bukanlah untuk berkata tentang hukum halal ataupun haramnya fenomena MLM ini, tetapi bertujuan untuk mengajak anda semua kepada sistem "MLM" yang lebih menguntungkan dan terjamin tahap keredhaannya insyaAllah.


Kalau tadi saya sertakan iklan tentang MLM, tertarikkah anda untuk menyertainya?


Sekarang apa kata  kalau saya mengajak anda untuk membaca iklan di bawah ini pula. Jom!




2:261


Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.

Al-Baqarah : 261


Bagaimana? Tertarik? Susah tak?

Subhanallah.. Betapa lumayannya tawaran yang Allah telah berikan kepada kita. Benarlah Allah itu sifatnya Maha Pemurah. Masya-Allah!

Bukan susah. Hanya dengan sekali kita menginfakkan harta kita ke jalan Allah, maka ganjaranya begitu besar sekali Allah kurniakan, bahkan berlipat kali ganda.

Itu tidak dikira lagi jika sesuatu yang kita infakkan itu bermanfaat kepada orang lain. Jika ada manfaatnya, maka ganjaran kebaikan yang diterima oleh orang itu akan mengalir juga kepada kita, bahkan tidak kurang sedikit pun!

Cuma bezanya, ganjaran yang Allah janjikan ini kita tidak dapat lihat dengan mata kasar kita. Pahala yang Allah janjikan itu merupakan tiket kita ke syurga nanti insyaAllah.

Bukan susah untuk berinfak. Sebagai contoh yang mudah, kita infakkan sesuatu yang kita mampu dan tidak membebankan kita.

Gayung misal kata. Kita infakkan di masjid untuk kemudahan orang berwuduk. InsyaAllah dengan gayung itu tadi mereka berwuduk dan bersolat. Moga tertempiaslah sedikit ganjaran kepada kita yang berinfak ini. Allahua'lam..





"Ketahuilah bahawa pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia, maka ia tidak akan berkembang di sisi Allah ( tidak mendatangkan kebaikan ), dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, mereka yang melakukannya beroleh pahala berganda-ganda."
-Solusi 03-
Bookmark and Share

Friday 11 March 2011

Bila Hati Berlagu...

Kerana aku mahu
Setiap kebaikan ada dalam diriku
Tatkala diri dahagakan ilmu
Kaki melangkah, mana pula hendak ku tuju...

Kadang kala aku buntu
Tika hati sekeras batu
Seakan jiwa sedingin salju
Pabila dunia sembahan di kalbu...

Adakah aku mampu
Andai silamku kelabu...
Andai hariku tidak menentu...
Masakan aku mampu
Menemui CINTA, Tuhan yang SATU...

Keliru!
Makin aku keliru!

Tetapi adakah Dia juga sepertiku...
Adakah Dia tetap menunggu...
Tatkala dosa seakan menyerbu...
Tatkala si hamba menangis merayu...
Sepertinya Dia tidak jemu
Rezeki diberi seakan baru
Wajarkah dosa dibalas sebegitu?
Hinggakan diri menjadi malu...

Bangunlah diriku!
Sedarlah hatiku!
Agar dosa tidak terus membelenggu
Walhal ku tahu
Cintanya tak pernah menipu
Kasihnya tak mungkin layu.....

Nukilan : Fontos[100311]






Dan barang siapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, niscaya dia akan mendapatkan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

An-Nisa'  : 110

Bookmark and Share

Monday 7 March 2011

Kompas Hati

Hadith 1 Arabic text
HADIS 1

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Khattab r.a berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNYA, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNYA. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah yang ditujuinya itu."

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.


Alhamdulillah... Akhirnya post pertama berjaya juga dihasilkan. Mungkin elok rasanya kita tetapkan terlebih dahulu niat kita insyaAllah agar dipeliharaNYA di kemudian hari.

Hadis di atas dipetik daripada "Hadis 40" karangan Imam An-Nawawi, dan juga merupakan Hadis 1 dalam Hadis 40 ini, yang mana saya rasakan sangat bersesuaian untuk dijadikan 1st post.

Pertamanya kerana sudah menjadi lumrah kehidupan kita untuk berniat dalam apa jua perkara kita lakukan. Rasanya macam agak tidak masuk akal untuk kita gunakan istilah "aku tak ada niat pun nak buat macam itu". (^_^)

Sebagai contoh, kita berniat dalam setiap ibadah kita. Misal kata solat kita, puasa kita, wudu' kita, dan lain-lain ibadah lagi.

Bukan sahaja ibadah kita kepada Allah, bahkan dalam segala aspek kehidupan. Pendek kata, bagaikan tidak sempurna aktiviti kita tanpa niat yang kita tetapkan.

Keduanya pula kerana saya harapkan di sini agar Allah pelihara hati saya sepenuhnya agar tidak lari daripada niat asal penulisan blog ini insyaAllah.

Dan yang ketiga pula, insyaAllah dari semasa ke semasa akan saya selitkan di blog ini hadis-hadis lain yang terkandung dalam karangan Imam An-Nawawi ini agar kita bersama-sama memperoleh manfaat. Amin.....


NAWAITU


Moga kita bersama-sama mengambil iktibar daripada hadis ini agar dalam apa jua perbuatan kita, tetapkan niat kita kepada Allah, kerana setiap perkara baik yang diniatkan kerana Allah itu merupakan ibadah, dan setiap ibadah itu pula dijanjikan pahala sebagai ganjaran daripada Allah =) Wassalam.....
Bookmark and Share

Sunday 6 March 2011

Dengan Lafaz Bismillah

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah. Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana alhamdulillah hari ini berjaya juga blog ini diwujudkan setelah sekian lama mencuba-cuba. Aminn.. (^_^)

Boleh katakan ini merupakan percubaan yang keempat sebenarnya, kerana yang sebelum-sebelum ini semuanya sekadar dibuat tetapi tiada keberanian untuk publish. Kalau diikutkan tempoh, sudah 3 tahun bercita-cita untuk 'mempublishkan' blog ini, tapi belum ada rezeki dan kesempatan selama ini.

InsyaAllah di sini serba sedikit pengenalan tentang blog ini. Moga dengan redha Allah, diharapkan niat asal blog ini diwujudkan akan Allah pelihara sebaiknya. Blog ini cuba untuk saya jadikan sebagai wadah untuk saya menyampaikan semampu yang mungkin kepada sesiapa sahaja yang menyinggah ke sini dan membaca di sini.

Sebelum ini pernah juga saya berkarya, tetapi kerana diletakkan di web-web awam, maka tejadilah isu hilangnya "copyright". Bukan niat untuk menghalang perkongsian, cuma berharap ada sifat menghormati hak insan lain. Jadi diharapkan dengan adanya blog ini, isu ini tidak akan timbul lagi insyaAllah.

InsyaAllah juga dari semasa ke semasa, akan saya cuba juga serba sedikit untuk membawa anda untuk "melancong", tetapi hanya dengan gambar-gambar dan sedikit perkongsian yang saya rasakan menarik untuk anda InsyaAllah.


SALAM PERKENALAN

Setakat ini sahaja untuk info ringkas blog ini dari saya. Jika ada yang merasakan blog ini terlalu formal, bolehlah menegur saya dan kita santaikan sedikit insyaAllah kerana teguran yang baik itu membawa impak yang baik =) Wassalam.....
Bookmark and Share