Begitu banyak sekali yang Islam ajarkan kepada kita tentang etika-etika makan dan minum. Semua ini dapat kita lihat melalui ayat-ayat yang Allah turunkan di dalam al-Quran.
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w sendiri juga selalu menasihatkan para sahabat untuk makan makanan yang bersih dan yang menyihatkan. Antaranya :
# Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
# Memulakan makanan dengan memuji Allah. (berdoa, membaca Bismillah)
# Makan menggunakan tangan kanan.
# Makan ketika lapar dan bernhenti sebelum kenyang.
# Tidak makan atau minum sehingga berlebihan.
Dengan itu, jelaslah kepada kita betapa Islam itu sangat menitikberatkan amalan pemakanan yang sihat, diet yang seimbang serta mengutamakan makanan yang bersih.
Semua ini telah pun Allah ajarkan kepada kita melalui al-Quran. Juga diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui as-Sunnah.
Jadi, segala diet-diet serta amalam pemakanan sihat yang ada pada hari ini sebagaimana yang digariskan oleh pakar-pakar pemakanan, pejabat-pejabat kesihatan serta laman-laman web hanyalah lanjutan kepada kita dalam mengamalkan gaya pemakanan yang sihat sebenarnya agar kita lebih menghargai tubuh badan kita.
Sebagaimana firman Allah :
Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.
'Imran : 191
Diet memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Dalam kita disuruh untuk menjaga tubuh badan kita, Islam mengajar kita agar makan dari sumber-sumber yang baik, yang boleh menjadikan diri kita untuk terus bertenaga bagi membolehkan kita beribadat kepada Allah.
Sebagaimana firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.
al-Baqarah : 172
Allah juga memerintahkan kita agar hanya makan rezeki yang halal dan baik sahaja. Sesiapa yang memakan selain dari tu, Allah telah berfirman dalam al-Quran bahawa mereka itu adalah pengikut-pengikut syaitan.
Wahai manusia! makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
al-Baqarah : 168
Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah menerangkan secara umum tentang makanan-makanan yang halal. Namun apakah contoh makanan-makanan yang diharamkan Allah kepada hamba-hambaNya?
Allah berfirman tentang perkara ini sebanyak dua kali di dalam al-Quran dengan dua ayat yang hampir serupa. Ini menunjukkan betapa Allah melarang keras kita daripada memakan sesuatu yang diharamkan.
Walaubagaimanapun, di sebalik larangan Allah yang keras itu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang telah pun memberikan kelonggaran atau pun rukhsah bagi manusia yang benar-benar dalam darurat.
Masya-Allah, betapa luasnya ilmu Allah itu sehingga mengetahui perkara-perkara yang berlaku, malah mengampunkan hambanya sebelum mereka melakukannya lagi!
Firman Allah :
Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi, dan (daging) haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa terpaksa (memakannya), bukan kerana menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
al-Baqarah : 173
Fiman Allah lagi :
Sesungguhnya Allah hanya megharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi dan (haiwan) yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah, tetapi barangsiapa terpaksa (memakannya) bukan kerana menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sungguh, allah maha Pengampun, Maha Penyayang.
an-Nahl : 115
Al-Quran bukan sahaja menceritakan tentang makanan yang halal dan haram dimakan sahaja, malah Allah turut memperincikan kepada kita akan tips-tips pemakanan serta diet yang sihat.
Allah menyatakan betapa pentingnya daging kepada kita sebagaimana yang kita tahu bahawa daging itu mengandungi protein yang sangat tinggi sekaligus memenuhi keperluan tubuh badan kita.
Sebagaimana firman Allah :
Dan haiwan ternak telah diciptakan-Nya untuk kamu, padanya ada (bulu) yang menhangatkan dan berbagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan.
an-Nahl : 5
Selain daging, Allah juga mengajar kita agar tidak mengabaikan khazanah laut yang begitu bermanfaat kepada kita. bukan sahaja protein, bahkan terdapat juga sumber iodin yang diperlukan tubuh kita.
Sebagaimana firman Allah :
Dan tidak sama (antara) dua lautan; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari (masing-masing lautan) itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai, yang di sana kamu melihat kapal-kapal belayar membelah laut agar kamu dapat mencari kurnia-Nya dan agar kamu bersyukur.
Fathir : 12
Allah juga menyatakan kepada kita di dalam al-Quran akan kepentingan susu dalam kehidupan kita. Sebagaimana yang kita sedia maklum, susu mengandungi sumber kalsium yang tinggi yang amat diperlukan oleh tulang kita.
Sebagaimana firman Allah :
Dan sungguh, pada haiwan ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberi minum dari apa yang ada dalam perutnya (berupa) susu murni antara kotoran dan darah, yang mudah ditelan bagi orang yang meminumnya.
an-Nahl : 66
Buah-buahan juga tidak terkecuali daripada al-Quran. Allah mengutuk perbuatan manusia yang menjadikan sesuatu makanan yang pada sifat asalnya adalah baik kepada sesuatu yang membawa keburukan kepada manusia.
Sebagai contoh adalah anggur menjadi arak sebagaimana firman Allah :
Dan dari buah kurma dan anggur, kamu membuat minuman yang memabukkan dari rezeki yang baik. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti.
an-Nahl : 67
Dalam ayat berikut pula, Allah menceritakan kepada kita tentang kepentingan buah-buahan kepada kita sebagaimana yang diperlukan oleh sistem tubuh badan kita iaitu vitamin.
Dan Dialah yang menurunkan air dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami mengeluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma, mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya pada waktu berbuah, dan menjadi masak. Sungguh, pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
al-An'am : 99
Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa amalan pemakanan yang sihat itu telah pun Allah gariskan dalam kitab suci al-Quran.
Walaubagaimanapun, sesuatu makanan yang baik itu jika diambil berlebih-lebihan tetap akan membawa kesan yang buruk kepada tubuh badan kita.
Allah melarang kita berbuat demikian sebagaimana dalam firman-Nya :
Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.
al-A'raf : 31
Mudah-mudahan selepas ini kita semua menjadi lebih bijak dalam mengamalkan amalan pemakanan yang sihat.
Jangan kita hanya memakan daging sahaja kerana pada sumber laut, sayuran dan buah-buahan itu juga terdapat manfaat kepada kita, insya-Allah...(^_^)