Friday, 5 August 2011

Madrasah as-Syaitan

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; "Apabila menjelmanya Ramadhan, nescaya dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."
( HR al-Bukhari dan Muslim )





Alhamdulillah, Ramadhan menjengah lagi dan Allah masih memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini.

Hadith yang saya sertakan ini merupakan antara hadith yang begitu popular dalam kalangan kita sejak daripada kecil lagi.

Bahkan hadith ini juga membuatkan kita berasa sangat terpelihara daripada godaan syaitan dalam kita menempuh bulan Ramadhan yang juga sering digelarkan sebagai "Madrasah Ramadhan".

Maklumlah apabila musuh kita yang paling nyata sudah tiada, maka tiadalah pengganggu dalam ibadah kita sepanjang Ramadhan ini.




MADRASAH RAMADHAN


Saban tahun menjelang Ramadhan, sering kita dengar ungkapan "Mentarbiyyahkan diri dalam madrasah Ramadhan", tidak kiralah di TV, radio mahupun Facebook dan Twitter.


Kata orang, bulan Ramadhan ini merupakan peluang terbaik untuk kita berubah dalam menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.


Mana tidaknya, Nabi Muhammad sendiri telah bersabda bahawa syaitan yang merupakan makhluk yang tugasnya untuk menyesatkan anak cucu Adam telah pun dirantai sebaik menjelmanya bulan Ramadhan.


Tambahan pula, Ramadhan ini juga disertakan dengan satu kelebihan yang tiada di bulan-bulan lain iaitu malam al-Qadr ataupun Lailatul Qadr.


Sebagaimana firman Allah s.w.t. :






Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

al-Qadr : 1-5

Selain itu, solat terawikh juga hanya terdapat pada bulan Ramadhan. Maka kelihatanlah pada setiap malam surau-surau dan masjid-masjid yang kebiasaannya lengang menjadi penuh pada waktu Isyak kerana kehadiran umat Islam yang ingin mendirikan solat sunat yang ada pada bulan ini sahaja.

Persoalannya, mampukah madrasah ini mentarbiyyahkan diri kita untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya?

Adakah diri kita mampu menjejakkan kaki ke masjid-masjid sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bangun sebelum masuknya Subuh sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Adakah diri kita mampu bersedekah dan beramal jariah sebagaimana semasa bulan Ramadhan?

Jika anda mampu, TAHNIAH!!! Andalah 'graduan' madrasah Ramadhan!!!




MADRASAH AS-SYAITAN

Sekarang kita berbicara pula tentang madrasah yang kedua yang merupakan tajuk kepada 'post' ini.

Sebelum kita memasuki bulan Ramadhan, kita telah berada di madrasah ini selama 11 bulan. Sedarkah kita?

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, mampukah kita mentarbiyyahkan diri kita sehabis mungkin dalam bulan Ramadhan agar kita bersedia menghadapi bulan-bulan selain Ramadhan yang penuh dengan godaan syaitan.

Namun, lain pula bagi 'pensyarah' yang bernama SYAITAN.

Mereka bukan sahaja mendidik anak didiknya, malah juga menggilap nafsu yang ada pada anak didik mereka agar nafsu inilah yang bakal meneruskan tarbiyyah anak didik madrasah as-Syaitan sepanjang ketiadaan pensyarah mereka ini.





Lihatlah betapa berjaya madrasah ini sehingga mampu melahirkan begitu ramai graduan yang berkualiti.

Bukan itu sahaja, mereka juga diajar cara-cara untuk menjadi seorang 'pensyarah' sebaik ketiadaan pensyarah mereka ini agar bertambah ramai penuntut di madrasah ini dalam usaha menggagalkan usaha murni segelintir penuntut madrasah Ramadhan.

Dalam kesibukan umat Islam mecari keredhaan Allah dan mengejar kemuliaan Ramadhan, di sinilah dapat kita lihat kelibat-kelibat mereka yang bergelar 'graduan' madrasah as-Syaitan.

Mereka ini tidak berpuasa di saat orang lain berpuasa.

Mereka ini tidak mendirikan solat di saat orang lain melipatgandakan solat wajib dan sunat.

Mereka ini sibuk memboroskan wang di bazar Ramadhan di saat orang lain memperbanyak sedekah.

Mereka ini sibuk menonton televisyen di saat orang lain berpusu-pusu menghadiri majlis ilmu.

Mereka ini masih mendedahkan aurat di saat orang lain menjaga maruah dan harga diri.

Bukan ini sahaja, malah banyak lagi yang ada pada mereka ini hasil didikan syaitan ke atas musuh manusia selepas syaitan iaitu NAFSU!

Pilihan ada di tangan kita. Lapangkan dada, panjatkan doa dan beristikharahlah dalam membuat keputusan sama ada memilih madrasah Ramadhan ataupun madrasah as-Syaitan.





Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi insan yang bergelar graduan madrasah Ramadhan. Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita tidak termasuk golongan yang berjaya dididik oleh musuh kita yang paling nyata iaitu syaitan. aminnnn....

## Syaitan diikat semasa bulan Ramadhan, jadi hantu raya wujud atau tidak? V(^_^)V
Bookmark and Share

Monday, 1 August 2011

Aku Maafkan Kau...

Al-Ahnaf bin Qais, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia. Beliau digelar Abu Bahr dan berasal dari Bani Tamim. Dia dipanggil "al-Ahnaf" kerana kecacatan di kakinya.

Budi pekertinya refleksi akhlak Nabi s.a.w. Betapa harumnya nama al-Ahnaf sehingga diumpamakan, "lebih lemah-lembut berbanding al-Ahnaf" ( ahlam min al-Ahnaf ).

Pernah diriwayatkan suatu hari ada seorang lelaki mengutuk dan mengeji al-Ahnaf.

Apa tindak balasnya?

Al-Ahnaf pergi dari situ dan tidak membalas kejian dan makian lelaki tersebut. Kejian dan makian tersebut tidak diendahkan, seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Langkahnya diteruskan walaupun lelaki yang mengejinya tadi tetap mengikut langkah kakinya dan terus mengutuknya. Lagak al-Ahnaf masih seperti tadi, tenang dan tidak menghiraukannya.

Sebaik sahaja menghampiri kawasan kediamannya, al-Ahnaf berhenti. Langkahnya kaku. Dipandang lelaki yang mengejinya tadi lantas berkata : "Jika masih ada apa-apa yang engkau ingin katakan, maka luahkan segala-galanya sebelum penghuni kejiranan ini mendengar kata-katamu dan mula menyakitimu."




Dalam kisah yang lain pula, seorang lelaki mengutuknya dan mengejinya. Al-Ahnaf sekadar diam tidak berkata apa-apa walau sepatah.

Lelaki tersebut tidak berputus asa, tetap meneruskan misinya mengutuk dan menghina al-Ahnaf sehinggalah tiba waktu makan tengah hari.

Al-Ahnaf berkata kepadanya : "Ini dia makanan tengah hari kami. Jom makan bersama kami."

Ajakan al-Ahnaf itu sungguh-sungguh, ikhlas dari hatinya. Bukan ajak-ajak ayam atau ajakan sinis. Lelaki yang menghinanya itu malu. Usahanya ibarat mencurah air ke daun keladi, sia-sia dan tidak bermanfaat.




Demikianlah akhlak al-Ahnaf yang lemah-lembut, pemaaf, tidak berdendam dan tidak baran, malah berhikmah dalam menghadapi sebarang situasi.


-Solusi 29-


Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith dari Anas al-Juba'i bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyeru pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk sampai disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu." ( HR Ahmad dengan sanad hasan )



Bookmark and Share