Al-Ahnaf bin Qais, salah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia. Beliau digelar Abu Bahr dan berasal dari Bani Tamim. Dia dipanggil "al-Ahnaf" kerana kecacatan di kakinya.
Demikianlah akhlak al-Ahnaf yang lemah-lembut, pemaaf, tidak berdendam dan tidak baran, malah berhikmah dalam menghadapi sebarang situasi.
Budi pekertinya refleksi akhlak Nabi s.a.w. Betapa harumnya nama al-Ahnaf sehingga diumpamakan, "lebih lemah-lembut berbanding al-Ahnaf" ( ahlam min al-Ahnaf ).
Pernah diriwayatkan suatu hari ada seorang lelaki mengutuk dan mengeji al-Ahnaf.
Apa tindak balasnya?
Al-Ahnaf pergi dari situ dan tidak membalas kejian dan makian lelaki tersebut. Kejian dan makian tersebut tidak diendahkan, seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Langkahnya diteruskan walaupun lelaki yang mengejinya tadi tetap mengikut langkah kakinya dan terus mengutuknya. Lagak al-Ahnaf masih seperti tadi, tenang dan tidak menghiraukannya.
Sebaik sahaja menghampiri kawasan kediamannya, al-Ahnaf berhenti. Langkahnya kaku. Dipandang lelaki yang mengejinya tadi lantas berkata : "Jika masih ada apa-apa yang engkau ingin katakan, maka luahkan segala-galanya sebelum penghuni kejiranan ini mendengar kata-katamu dan mula menyakitimu."
Dalam kisah yang lain pula, seorang lelaki mengutuknya dan mengejinya. Al-Ahnaf sekadar diam tidak berkata apa-apa walau sepatah.
Lelaki tersebut tidak berputus asa, tetap meneruskan misinya mengutuk dan menghina al-Ahnaf sehinggalah tiba waktu makan tengah hari.
Al-Ahnaf berkata kepadanya : "Ini dia makanan tengah hari kami. Jom makan bersama kami."
Ajakan al-Ahnaf itu sungguh-sungguh, ikhlas dari hatinya. Bukan ajak-ajak ayam atau ajakan sinis. Lelaki yang menghinanya itu malu. Usahanya ibarat mencurah air ke daun keladi, sia-sia dan tidak bermanfaat.
Demikianlah akhlak al-Ahnaf yang lemah-lembut, pemaaf, tidak berdendam dan tidak baran, malah berhikmah dalam menghadapi sebarang situasi.
-Solusi 29-
Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadith dari Anas al-Juba'i bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyeru pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk sampai disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu." ( HR Ahmad dengan sanad hasan )
0 comments:
Post a Comment