Tuesday 24 May 2011

Isteri Terbaik

Siapakah wanita pertama yang beriman pada awal kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.?

Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya di saat insan lain enggan membantu Nabi Muhammad s.a.w.?

Siapakah wanita yang memberikan Nabi Muhammad s.a.w. zuriat?

Siapakah wanita yang menenangkan hati suami yang gundah di saat insan lain membenci Nabi Muhammad s.a.w.?

Semua jawapan ini hanya ada pada satu insan yang sangat mulia di sisi Nabi Muhammad s.a.w. dan juga di sisi Islam kerana mulia pekertinya selaku hamba kepada Allah dan isteri kepada utusan Allah.


Menelusuri kisah cinta Rasulullah s.a.w. dan Khadijah r.a.


KHADIJAH AL-KHUWAILID

  • Terkenal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid
  • Lahir di Umm al-Qura, Makkah sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah
  • Berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad
  • Digelar al-Tahirah (wanita suci) sejak zaman jahiliah kerana sikapnya yang sukakan kebersihan dan kesucian
  • Seorang usahawan wanita yang terkemuka sehinggakan satu kafilah dagangnya yang dihantar ke Syria menyamai dengan konsortium beberapa kafilah dagang Quraisy




Sebagaimana yang kita tahu, Khadijah bukanlah satu-satunya wanita yang dikahwini Nabi Muhammad s.a.w.

Namun, mengapakah Khadijah digelar sebagai isteri terbaik?

Ini kerana beliau mempunyai keutamaan yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain. Antaranya ialah :

  • Isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w. sekaligus menjadi kekasih pertama di hati Nabi
  • Rasulullah s.a.w. tidak menikahi wanita lain selama mana Khadijah masih hidup 
"Selama hidup bersama-sama Khadijah, Nabi s.a.w. tidak menikahi wanita lain sampai Khadijah meninggal dunia." - Riwayat Muslim -

  • Rasulullah s.a.w. tidak mengambil hamba wanita selama mana Khadijah masih hidup
  • Isteri yang memberikan keturunan kepada Rasulullah s.a.w.
  • Rasulullah s.a.w. tidak pernah merasa marah kepada isteri ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Baginda hanya marah (marah-marah sayang) setelah mempunyai ramai isteri atas kesalahan dan karenah mereka
  • Insan pertama yang solat bersama Rasulullah s.a.w.
  • Wanita pertama antara isteri-isteri nabi yang mendapat jaminan syurga
  • Insan pertama menerima salam daripada Allah
Abu Hurairah menyatakan bahawa Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. sambil berkata : "Wahai Rasulullah, Khadijah sedang berjalan ke mari. Dia membawa bekas yang berisi kuah, makanan dan minuman. Jika dia sampai kepadamu, maka katakanlah bahawa Tuhan-Nya dan aku berkirim salam kepadanya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepadanya bahawa dia akan mendapat sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada buluh, yang tidak risik (bising atau riuh) dan tidak melelahkan." (Muttafaq 'alaih)

  • Wanita pertama yang masuk dalam kategori siddiq (yang benar)
  • Insan pertama yang kuburnya disiapkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.





Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.  sehinggakan dimuliakan oleh suami ketika hidup dan sesudah meninggal dunia.

Pujian yang sentiasa keluar daripada bibir Nabi Muhammad s.a.w. terhadap Khadijah sentiasa menimbulkan cemburu di hati Aisyah r.a. biarpun ketika itu Khadijah r.a. sudah pun meninggal dunia.


Aisyah berkata, "Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuanku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut namanya..." (Muttafaq 'alaih)




Aisyah melanjutkan cerita,"Jika Rasulullah s.a.w. menyembelih kambing, maka Baginda berkata, 'Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.' Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata, 'Lagi-lagi Khadijah!' Baginda berkata, ' Sesungguhnya saya amat mencintainya.'" (Muttafaq 'alaih)




TAHUN KEDUKAAN

Di saat dakwah Islam mencecah tahun ke-10 dan mengalami peristiwa besar, Rasulullah s.a.w. mengalami ujian getir apabila Allah menjemput kekasih hatinya.

Selama ini Khadijah merupakan insan yang berdiri teguh di belakang Rasulullah dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

Hati Baginda bertambah pilu apabila pemergian Khadijah r.a. disusuli kematian Abu Talib yang turut banyak membantu usaha dakwah Baginda.

Peristiwa ini diisytiharkan sebagai "Tahun Kedukaan".




Semoga srikandi-srikandi Islam menjadikan Khadijah r.a. sebagai contoh dalam menjadi isteri yang bukan sahaja dicintai suaminya, bahkan dicintai Allah.

Semoga perwira-perwira Islam menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh dalam memberikan isterinya sepenuh kecintaan dan didikan yang dituntut oleh Allah.

Insya-Allah... Aminnn...
Bookmark and Share

1 comments:

Anonymous said...

JZKK buat Syeikh Mas...nice~~

Post a Comment